MProRS bukan ganti PMOM

HAMIDIN. Foto: Football Association of Malaysia (Official)
HAMIDIN. Foto: Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

SISTEM Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) bukan alternatif kepada penubuhan badan bebas pengadil Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

Sebaliknya menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, MProRS adalah antara nilai tambah kepada pelaksanaan PMOM cetusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Januari 2019, namun kini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan ekonomi semasa.

Katanya, FAM sebagai badan induk bola sepak negara dan MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) tetap berhasrat meneruskan PMOM di masa akan datang demi memperkasakan mutu pengadilan dalam arena bola sepak tanah air.

"Seperti kita menswastakan MFL keluar dari Jawatankuasa Pertandingan FAM dahulu, perkara sama mungkin akan terjadi pada masa yang sesuai di masa akan datang. Kita akan pastikan PMOM itu wujud sebagai badan lain untuk menguruskan pengadil profesional seperti MFL menguruskan Liga-M.

"Tetapi kita perlu bergerak dari sekarang (MProRS) untuk FAM memulakan inisiatif ke atas pengadil profesional di negara," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran MProRS di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Hamidin yang juga Presiden MFL menjelaskan kos keseluruhan bagi pengurusan MProRS yang mempunyai misi menjadikan pengadil tempatan sebagai mercu tanda pengadilan di peringkat Asia adalah sekitar RM500,000 setahun.

Seramai enam pengadil kebangsaan telah disenarai pendekkan untuk menjadi perintis kepada MProRS dan hanya dua terbaik akan ditawarkan kontrak pengadil profesional, Julai depan, berdasarkan prestasi ditampilkan sepanjang empat bulan pertama saingan Liga-M 2020.

Sebelum ini, idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di London pada Januari 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!