Malaysia bantah tindakan Filipina

MEGAT D SHAHRIMAN
MEGAT D SHAHRIMAN
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (ASPF) minggu depan selepas tuan rumah, Filipina dilaporkan meminda tarikh penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 dari 20 hingga 28 Mac kepada 26 Mei hingga 2 Jun ini.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa, beliau hanya menyedari tindakan Filipina itu selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo mengumumkan perenang paralimpik, Ernie Gawilan sebagai pembawa bendera Filipina ke temasya sukan dwitahunan berkenaan, Selasa lalu.

Megat Shahriman menegaskan Barredo membuat keputusan secara ‘unilateral’ tanpa merujuk perkara berkenaan kepada ahli majlis APSF sekali gus bercanggah dengan prosedur ditetapkan APSF untuk penganjuran sesebuah temasya sukan..

“Hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang tidak bersetuju dengan tindakan Filipina menunda tarikh penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 buat kali kedua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mendakwa APSF telah menolak permohonan Filipina untuk menunda penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 buat kali kedua berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya adalah Filipina gagal menyerahkan perancangan garis panduan pertandingan kepada APSF, tiada kepastian berhubung langkah diambil kerajaan Filipina dalam mengekang penyebaran wabak koronavirus (Covid-19), selain APSF tidak pernah dirujuk mana-mana pihak berhubung status penganjuran temasya sukan berkenaan.

Mengulas lanjut, Megat Shahriman berkata, penundaan tarikh berkenaan tidak boleh diterima MPM memandangkan ia bertindih dengan sambutan Aidilfitri, selain tarikh baharu berkenaan bakal mengganggu persiapan atlet paralimpik negara menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos sehingga 6 September depan.

Temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bagi atlet para itu pada awalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Januari namun ditunda ke tarikh baharu pada 20 hingga 28 Mac susulan kekurangan bajet manakala penundaan kali kedua dipercayai berkaitan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 16 sukan akan dipertandingkan dengan sukan tempuh halangan para sebagai sukan demonstrasi.

Sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, berbasikal CP, bola sepak, goalball, judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, triatlon, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!