Netizen Malaysia, usahlah serang Bunga Citra Lestari
SEJAK tiga minggu lalu, negara kita diduga dengan pelbagai perkara termasuk peralihan kuasa daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Akhirnya pada tanggal 29 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
Selesai satu perkara. Kumpulan pengkritik media sosial (netizen) tanpa henti memberi komen dan pandangan masing-masing. Hebat netizen Malaysia!
Semalam, sedang Merak Jalanan melayari komen-komen netizen di Facebook, mata terlirik kepada satu video bertajuk: Netizen Malaysia sindir Bunga Citra Lestari (BCL)!
Video berdurasi lebih empat minit itu memaparkan komen-komen pedas netizen Malaysia apabila melihat penyanyi ternama itu membuat persembahan walaupun masih dalam iddah.
Bagi Merak Jalanan, setiap daripada kita wajiblah bertanggungjawab dengan setiap perkataan yang ditulis di alam maya kerana ia bakal dihisab kelak.
Bukan semua perkara yang berlaku di dunia ini kita harus ‘serang’. Berpada-pada dan kena pada tempatnya. Merak Jalanan juga bukan ahli agama yang boleh mengeluarkan dalil yang tepat tapi kita semua tahu kerjaya wanita itu adalah menyanyi.
Sepanjang persembahan, Bunga juga kita sendiri boleh lihat beliau sentiasa mengenakan pakaian hitam tanda masih berkabung. Video Bunga sering menangis dalam setiap persembahan juga menjelaskan bahawa kesedihan masih menyelubunginya.
Tidak perlu penjelasan, kita tahu tangisan itu kerana apa. Al-Fatihah buat Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!