Komen membina lebih bermakna

A
A
A

SEBELUM heboh tentang pengumuman barisan Kabinet kerajaan baharu, tular tentang komen panas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terhadap perbankan Islam. Pelbagai poster dipanjangkan kepada orang ramai dan yang paling kurang adab pada pada pandangan saya ialah poster bertajuk ‘Menipu ALLAH dengan Perbankan Islam’.

PPIM sering dilihat memerangi perbankan Islam di Malaysia. Jarang sekali kenyataan daripada PPIM yang membayangkan mereka mempunyai niat yang baik untuk memperbaiki kelemahan perbankan Islam di Malaysia. Komen-komen panas yang diberi seolah-olah bertujuan mahu meranapkan terus perbankan Islam dari bumi Malaysia khasnya. Serangan demi serangan itu seakan-akan membayangkan niat mereka ingin memberi laluan selesa kepada perbankan konvensional untuk terus tertegak di muka bumi ini.

Semalam, ketika membaca komen-komen yang diberi, terlintas dalam fikiran saya satu soalan. Jika didakwa menipu ALLAH dengan perbankan Islam, tentu sekali mereka tidak akan menghampiri perbankan Islam di Malaysia. Mana mungkin mereka sanggup menipu ALLAH dengan menggunakan perbankan Islam. Jadi, di manakah mereka menyimpan duit mereka? Bawah bantal? Mustahil. Setakat RM1,000 atau RM2,000 bolehlah disimpan bawah bantal. Mungkin juga mereka memiliki peti besi yang canggih. Tapi, bagaimana pula mereka mengirim duit kepada anak-anak mereka di luar negara? Mereka terbang ke sana setiap kali ingin hantar duit? Macam agak tidak logik.

Adakah kerana perbankan Islam itu membawa maksud menipu ALLAH, lalu mereka memilih untuk menggunakan perbankan konvensional? Tiada siapa yang boleh memberi jawapan tepat melainkan mereka sahaja. Tetapi andainya kerana kebencian mereka terhadap perbankan Islam sehingga mendorong mereka menggunakan perbankan konvensional, saya ingin katakan bahawa orang Islam yang menggunakan perbankan konvensional itu telah menghina ALLAH. Saya kata ia menghina ALLAH kerana perbankan konvensional jelas melanggar hukum hakam ALLAH. Haramnya perbankan konvensional ini memang telah disepakati umat Islam di seluruh dunia.

Saya lebih suka sekiranya PPIM mengambil pendekatan mengharmonikan antara dua pihak berbanding pendekatan memerangi dan menfitnah perbankan Islam dalam menangani isu-isu pengguna. Saya tidak mengatakan bahawa perbankan Islam di Malaysia tiada kekurangan dan sempurna segala-galanya. Bukti sangat banyak untuk menunjukkan semua pihak yang terlibat dengan perbankan Islam sentiasa membuat penambahbaikan dari masa ke masa.

Saya sangat setuju dengan pandangan yang diberikan oleh Razli Ramli yang mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang kewangan Islam yang mengatakan bahawa PPIM akan dilihat lebih berintegriti jika mereka memperjuangkan hak-hak pengguna dengan menggalakkan pengguna memahami undang-undang dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi melindungi hak-hak mereka. Beliau seterusnya menyarankan kepada PPIM agar bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk dapatkan maklumat yang lebih tepat untuk menyebarluaskan informasi berkaitan hak pengguna.

Pendekatan ‘menyerang’ yang diambil oleh PPIM tidak menambahkan apa-apa manfaat sama sekali. Malah maruah mereka secara tidak langsung tercalar kerana mengatakan sesuatu yang tidak tepat. Sebagai contoh tuduhan mereka bahawa penasihat Syariah akan mengikut telunjuk bank sebab bank membayar elaun bulanan mereka adalah satu fitnah yang amat berat dan tuduhan ini sebenarnya adalah satu penghinaan kepada Jawatankuasa Syariah yang terlibat dalam industri perbankan Islam.

Oleh itu, saya menyarankan kepada PPIM agar lebih fokus kepada memberi komen membina agar mereka tidak menjadi muflis di akhirat nanti lantaran tuduhan yang tidak berasas terhadap semua pihak yang terlibat dalam membangunkan perbankan Islam di Malaysia. Wallahu a’lam.

Artikel Berkaitan:

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!