PR1MA Pantai Batu Rakit capai kemajuan
BATU RAKIT - Projek Perumahan PR1MA di Pantai Batu Rakit, di sini telah mencapai kemajuan sebanyak 41 peratus daripada tujuh projek sama yang dirancang di negeri Terengganu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, projek disasarkan siap Jun 2020 itu juga mempunyai harga amat menarik.
Menurutnya, projek yang menawarkan 350 unit itu ditawarkan di antara RM195,000 hingga RM241,000 dengan keluasan 850 kaki persegi di lokasi tepi pantai yang amat indah.
"Ia mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Antara kemudahan lain disediakan ialah surau di tepi pantai dengan bilik pengurusan jenazah dan dewan komuniti untuk muatan 200 orang.
“Dalam pada itu sebuah pusat asuhan untuk anak anak kecil juga disediakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi selepas melawat tapak projek bagi memastikan tarikh sasaran siap dapat dicapai.
Dalam pada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Kerajaan PH ingin memastikan kediaman kategori mampu milik juga akan memberi kemudahan sosial dan komuniti berkualiti baik bagi mereka yang memiliki rumah kos sederhana ataupun rendah.
Sehubungan itu, katanya, kajian impak sosial (SIA) akan dilakukan untuk perlaksanaan projek-projek yang dirancang pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!