Pacu kecendekiaan masyarakat matlamat baharu KKMM
PUTRAJAYA - Memacu kecendekiaan dalam masyarakat adalah matlamat baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.
Menghuraikan kecendekiaan yang bermaksud masyarakat yang mampu memperoleh dan memanfaatkan ilmu dan kemahiran, beliau berkata, ia adalah sejajar dengan visi kementerian iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.
Katanya, negara sedang berhadapan dengan pelbagai perkembangan global yang turut dirasai masyarakat, contohnya dunia tanpa sempadan, budaya dan ekonomi digital, serta peluang dan cabaran yang datang bersama-sama dengannya.
Menurutnya, sifat ekonomi semasa adalah global dan sukar dijelaskan serta bergantung kepada inovasi idea, maklumat dan perhubungan antara manusia yang berpaksi pada jaringan elektronik yang luas.
“Dalam konteks ini, komunikasi bukan lagi sekadar suatu sektor. Komunikasi adalah ekonomi. Inilah sebabnya mengapa kita perlu memacu kecendekiaan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Saifuddin berkata, pendekatan penyertaan yang melibatkan kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil akan digunakan.
Sehubungan itu katanya, Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia yang dianggotai pelbagai pemegang taruh yang berkaitan dengan undang-undang, dasar-dasar dan program-program kementerian akan ditubuhkan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dasar dan program KKMM yang telah dilaksanakan atau sedang dirangka akan diteruskan bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, di samping beberapa penambahbaikan atau pendekatan baharu akan juga dilaksanakan.
"Pada masa yang sama, misi kementerian yang sedia ada akan diteruskan," katanya.
Beliau berkata, misi pengukuhan masyarakat yang bermaklumat, terhubung dan berdaya maju menerusi penerangan, penyiaran dan informasi yang berkualiti, berkesan dan berintegriti akan diteruskan.
Misi mengenai memperkasa jaringan dan infrastruktur telekomunikasi digital dan komunikasi sosial serta memacu pertumbuhan ekonomi digital selain mengembangkan industri kreatif negara juga akan diteruskan, katanya.
"Kami juga akan menumpukan terhadap usaha-usaha meningkatkan akses, peluang dan dividen digital untuk semua lapisan masyarakat, dan memastikan tiada yang terpinggir," katanya.
Saifuddin berkata, usaha juga akan ditumpukan untuk mendukung kebebasan media tanpa berkompromi terhadap berita palsu dan mempertahan keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman siber. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!