Pulau Pinang tangguh bayaran insentif warga emas secara tunai
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menangguhkan pembayaran sumbangan melalui Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1/2020 kepada 157,335 penerima tunai bermula 14 Mac ini.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, penangguhan itu dibuat selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang yang diadakan semalam bersetuju langkah itu diambil susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang memutuskan langkah itu selepas mengambil kira saranan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang yang tidak menggalakkan orang ramai berkumpul dalam tempoh lama.
"JKN Pulau Pinang telah menasihatkan kerajaan negeri bahawa sebarang program yang melibatkan orang ramai berkumpul melebihi 100 orang agar ditangguhkan. Banyak program yang terlibat termasuk Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1/2020.
"Sebagai kerajaan negeri yang prihatin, kita menerima nasihat tersebut dan telah menangguhkan beberapa program dalam masa terdekat ini. Ini kerana, penularan Covid-19 dilaporkan semakin membimbangkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini.
Beliau berkata, penangguhan pembayaran itu hanya melibatkan penerima tunai yang mana 34,523 penerima yang dibayar melalui akaun bank (EFT) telah menerima wang masing-masing pada 17 Februari lalu.
"Jumlah keseluruhan penerima bagi fasa ini adalah 191,858 yang mana 34,523 penerima secara EFT sudah selesai. Jadi masalah adalah 157,335 penerima tunai. Mereka ini telah menerima notis makluman bayaran dan kita mengambil langkah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkan penangguhan ini.
"Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai di kawasan masing-masing akan mengenal pasti pemohon yang tidak mempunyai maklumat lengkap antaranya tiada nombor telefon untuk memaklumkan perkara tersebut," katanya.
Boon Poh berkata, semua penerima tunai dinasihatkan mendaftar pembayaran melalui akaun bank agar urusan pemberian sumbangan dapat disalurkan dengan mudah.
"Orang ramai yang belum mendaftar boleh mendapatkan borang EFT yang disediakan di Pusat Khidmat ADUN, Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) atau Pejabat Daerah dan Tanah bagi membolehkan pembayaran dibuat dengan mudah.
"Setakat ini, yang telah disahkan ditangguhkan pembayaran (secara tunai) adalah Kadun Permatang Berangan (14 dan 15 Mac) serta Sungai Dua, Berapit dan Datuk Keramat yang diadakan pada tarikh sama iaitu 21 dan 22 Mac ini. Bayaran terakhir dibuat di Kadun Batu Uban dan Pinang Tunggal pada 7 dan 8 Mac lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!