UMNO Kedah siap sedia jika bubar DUN
ALOR SETAR - UMNO Kedah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya perubahan terhadap tampuk pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat sedikit sebanyak memberi kesan kepada Kedah tidak lama lagi.
Katanya, bagaimanapun sebarang plot drama politik Pakatan Harapan (PH) atau perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri berkenaan harus selaras dengan lunas Perlembagaan, legitimasi perundangan serta menitik beratkan kepentingan rakyat.
"Ramai dalam kalangan rakyat di negeri ini yang ternanti-nanti perubahan yang sama berlaku di peringkat kerajaan negeri. Namun keterujaan mereka itu masih 'terbantut' dek pelbagai drama yang berlaku," katanya menerusi suatu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beliau yakin Muafakat Nasional Kedah juga sentiasa bersedia dalam mod pilihan raya.
"Ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah secara mengejut," katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai persediaan Muafakat Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU ke-15), Suraya yang juga ADUN Sungai Tiang berkata, beliau difahamkan bahawa proses pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di antara UMNO/BN dan Pas hampir selesai.
"Proses pembahagian kerusi MN di Kedah dilihat lebih strategik dan mudah tanpa perlu memikirkan perkongsian kerusi dengan pihak lain.
"Pihak yang enggan bersama Muafakat Nasional dan lebih sayangkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Amanah, bolehlah mencuba nasib sebagai calon PH sekiranya masih berminat.
"Dengan pertembungan dua penjuru di antara Muafakat Nasional dan PH, kita yakin bahawa rakyat di seluruh negara lebih yakin dengan kemampuan Muafakat Nasional berbanding PH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!