Vape punca pelajar tahfiz dipukul

1
1
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kejadian seorang pelajar Tingkatan Satu dibuli tujuh senior di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang didakwa berpunca daripada rasa tidak berpuas hati selepas mangsa dikatakan penyebab vape milik mereka dirampas pihak sekolah.

Sumber dalaman tahfiz yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa ditangkap guru akibat 'kantoi' menghisap vape di dalam asrama kecil pada kira-kira jam 3 petang ketika semua tenaga pengajar sedang menjamu selera.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pihak sekolah mengarahkan semua penghuni asrama berkumpul di surau bagi melakukan pemeriksaan keseluruhan di asrama terbabit.

"Kami kemudian meminta semua penghuni asrama berkumpul di surau dan melakukan pemeriksaan serta merampas beberapa vape serta telefon bimbit di asrama besar," katanya.

Akibat tidak berpuas hati vape dirampas, pelajar senior terbabit dikatakan bertindak membelasah mangsa.

"Pihak sekolah mulanya dimaklumkan mangsa mengalami sakit perut dan kami membawanya ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu, pihak sekolah menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut dan meminta masyarakat tidak membuat sebarang andaian serong terhadap institusi tahfiz.

Jelasnya, pengurusan sekolah telah menjalankan semua prosedur operasi standard (SOP) dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan tujuh pelajar terlibat kes buli itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak sekolah juga akan mengadakan mesyuarat bersama tenaga pengajar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pelaku termasuk memberhentikan pelajar terbabit.

"Kami amat tegas dalam soal disiplin dan kes ini akan dibincangkan sebelum satu keputusan diputuskan dalam waktu terdekat," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pelajar di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang didakwa cedera dipercayai akibat dibelasah lima hingga tujuh pelajar senior.

Seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa abang kepada pelajar terbabit memuat naik status mengenai kejadian itu di laman sosial dengan mendakwa kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian hati dan limpa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tahfiz cedera dakwa dipukul senior

Buli: Polis tahan tujuh pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!