Surat kepada Perdana Menteri

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

MENGUBAH persepsi rakyat Malaysia berhubung tanggapan mereka terhadap kerajaan dan ahli-ahli politik adalah sukar diubah memandangkan rakyat hari ini sudah menjalani dua fasa pemerintahan yang berbeza di bawah kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Pakatan Harapan. Namun agak sukar untuk membetulkan penjanaan persepsi ini memandangkan labelan-labelan politik dibuat terhadap sesuatu kerajaan dan ahli-ahli politik.

Kerajaan pucuk pimpinan baru harus sedar bahawa budaya politicking adalah agak tinggi dalam kalangan rakyat kita dan budaya ini amat terserlah di dalam online political participation iaitu penggunaan media sosial iaitu menjana penghujahan politik di peringkat bawahan yang menggabungkan pelbagai golongan seperti middle class group, media persendirian, pelajar-pelajar universiti, NGO-NGO dalam dan luar negara, grup bloggers dan masyarakat sivil yang mana melahirkan aktivis-aktivis masyarakat.

Persoalan cara penyampaian maklumat dan teknik untuk terlibat sama dengan diskusi masyarakat kita masih kekurangan dalam kalangan ahli-ahli politik walaupun pelbagai dasar, program dan hala tuju ditetapkan.

Sekiranya mekanisme penyampaian komunikasi maklumat tidak lagi diperkukuhkan antara ahli politik dan rakyat serta antara ahli politik dan media agak sukar untuk pimpinan baru ini melancarkan pentadbiran mereka.

Literasi penggunaan media sosial dan tahap engagement antara ahli politik dan rakyat amat penting. Sebagai seorang penganalisis politik media sosial, saya melihat tahap penggunaan platform-platform media sosial masih ketinggalan kerana bukannya semua platform media sosial digunakan untuk engage dengan rakyat. Paling tidak memaksimumkan penyaluran maklumat agar mesej yang jelas harus sampai pada rakyat.

Ada ahli-ahli politik yang langsung tidak mempunyai platform media sosial dan ada yang hanya selektif di dalam menggunakan platform-platform berkenaan. Ada yang aktif di dalam penggunaan WhatApps sahaja yang mana pengaruhnya hanya dalam kalangan segelintir golongan.

Sebagai seorang ahli politik anda harus tahu senario penggunaan media sosial di Malaysia. Mengikut Digital 2019, Malaysia menduduki tangga kelima dan tangga pertama dari segi penguasaan platform media sosial.

Hampir lapan jam digunakan untuk melayari internet dan di dalam 8 jam ini, 3 jam hanya untuk melayari platform-platform media sosial. Ini jelas menunjukkan hampir 80 peratus rakyat kita menggunakan platform media sosial. Maka adalah disarankan kepada semua ahli politik harus mempunyai platform-platform media sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Kedua, soal literasi media sosial dalam kalangan ahli politik. Sesuatu post haruslah berbentuk komuniti engagement dan bukanlah mengungkit kemarahan atau emosi sesiapa kerana post media sosial ini akan menggambarkan personaliti, kredibiliti dan reputasi seseorang ahli politik malah juga menggambarkan imej parti politik berkenaan.

Kita perlu berganjak daripada budaya politik yang tidak sihat di dalam laman media sosial. Ia tetap akan merugikan kita yang mana persengketaan boleh berlaku antara parti-parti dan pengikut-pengikut. Ia bukan setakat berhenti di situ sahaja malah akan meraih komen-komen daripada netizen. Jadi ahli-ahli politik harus menjadi satu contoh kepada rakyat.

Ketiga, bagaimana ahli-ahli politik dan parti-parti politik menguruskan media sosial dengan lebih baik. Yang penting ialah soal engagement anda dengan rakyat.

Kita lihat banyak laman web kementerian yang disediakan namun ia tidak meraih populariti yang banyak dalam kalangan rakyat kita untuk melihat apakah program-program yang dibuat oleh sesuatu kementerian. Jangan ukur berdasarkan pages hits dan likes, sebaliknya sejauh manakah anda respons terhadap komen-komen yang dilontarkan.

Ia mungkin agak banyak tetapi anda mampu membuat pemilihan yang terbaik untuk mencantas apakah-apakah isu-isu yang sering diungkitkan oleh rakyat. Apabila sesuatu isu tidak dijelaskan dengan betul, ia yang menjadi persepsi yang berpanjangan yang mana boleh mengambil masa yang agak lama untuk membetulkan persepsi ini.

Kita harus menjadikan beberapa isu sebagai iktibar yang mana gagal memujuk rakyat untuk memahami sesuatu isu. Apabila isu tersebut gagal dijelaskan atau hanya mengambil tempoh masa yang terdekat iaitu 6 bulan sebelum pilihan raya, ia bukanlah satu pendekatan yang terbaik. Pemahaman terhadap sesuatu dasar atau program perlulah dijalankan dari semasa ke semasa dan haruslah sampai ke peringkat akar umbi supaya dapat mengelak jenayah persepsi.

Keempat, bagai mengelak berlakunya berita palsu berhubung portfolio anda atau berhubung diri anda. Adakah seseorang ahli politik ini berwaspada tentangan perkembangan teknologi gajet di persekitaran mereka? Adakah mereka sedar kewujudan fan club atau profil palsu atau sebarang dakwaan palsu berhubung diri anda dan parti-parti anda.

Persoalan adakah anda cepat bertindak atau membiarkan isu berkenaan senyap begitu sahaja harus dilihat secara teliti. Sekadar wujudnya cyber trooopers tidak memadai, dan ia tidak cukup kerana yang penting di sini ialah ‘bagaimana anda memainkan peranan yang penting dalam mencantas berita palsu’. Mungkin ada elemen penglabelan terhadap diri anda atau parti anda, atau post anda dipalsukan maka anda harus siap sediakan strategi-strategi yang sesuai untuk mengelak penyebaran berita palsu.

Ini termasuk pemberitaan antarabangsa. Sejauh manakah kerajaan pucuk pimpinan baru boleh mencantas tuduhan dan tohmahan pemberitaan antarabangsa yang mana mungkin sumber yang dirujuk adalah sumber yang tidak sahih atau mempunyai agenda untuk menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan. Ini adalah penting untuk kerajaan pimpinan baru membuat tindakan yang cepat dan tegas di dalam penyebaran berita yang tidak betul kerana ia membabitkan imej dan kedaulatan negara dipersoal?

Sebagai seorang penganalisis politik media sosial, saya merasakan strategi komunikasi serta mekanismenya harus diperkukuhkan. Sekiranya salah penyampaian maka usaha dan dasar yang diterapkan oleh kerajaan akan ketinggalan dan persepsi rakyat serta proses untuk mengembalikan keyakinan itu adalah agak mustahil untuk dilakukan. Saya berharap Perdana Menteri harus memberikan perhatian yang serius terhadap isu penjanaan persepsi ini.

* Prof Madya Dr Sara Chinnasamy ialah Penganalisis Politik & Media Sosial UiTM Shah Alam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!