Tajuddin tidak puas hati agihan Kabinet untuk UMNO

Tajuddin ketika ditemui di lobi PWTC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.
Tajuddin ketika ditemui di lobi PWTC selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpandangan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai 'orang nombor dua negara' merupakan langkah meneruskan agenda kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tajuddin berkata, beliau melihat pelantikan itu satu isyarat yang tidak bagus dan UMNO tidak selesa mengenai perkara tersebut.

"Kita sebagai parti politik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri, kita tidak mahu keterbelakang dan akan menjadi sebuah parti yang kecil.

"Parti yang tidak berperanan. Kita masuk politik sebab kita nak berperanan untuk bantu rakyat berkhidmat kepada rakyat. Sebab itu kami mahu jadi kerajaan," katanya kepada media ketika ditemui di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas menghadiri Mesyuarat MT UMNO di sini hari ini.

Berhubung perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO berkenaan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau menyuarakan pandangan mengenai agihan jawatan menteri Kabinet yang diberikan kepada UMNO.

Menurutnya, jawatan dalam Kabinet diterima pemimpin UMNO tidak boleh membantu rakyat malah menjejaskan kedudukan parti itu.

"Pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dia orang pegang. Luar bandar (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) dia orang pegang.

"Macam pertahanan (Kementerian Pertahanan), jaga keselamatan sajalah (dipegang UMNO). Apa yang boleh kita bantu rakyat di kampung, petani, nelayan dan sebagainya?

Artikel Berkaitan:

"Jadi tidak ada keseimbangan dari segi portfolio yang diberikan kepada UMNO, ini menjejaskan kedudukan UMNO dalam politik negara," katanya.

Ketika ditanya reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara yang disuarakan itu, Tajuddin berkata, presiden parti dan ahli MT lain hanya berdiam.

Bagaimanapun Tajuddin yakin Ahmad Zahid mengambil maklum apa yang beliau perkatakan.

"Bersatu walaupun kita sudah jadi kerajaan tapi Bersatu bukan parti kita. Sekarang kita bekerjasama dalam satu kerajaan yang dibentuk.

"Dalam politik kita masih lagi merupakan pesaing kepada dia. UMNO itu Bersatu dan Bersatu itu UMNO. Jadi ini melibatkan kepentingan politik antara dua parti ini dan mungkin juga berbeza.

"Bersatu nak kuatkan parti mereka dan ada agenda mereka sendiri, jadi UMNO kena ada agenda sendiri. Kalau tidak kukuhkan parti kita, datang PRU kita mungkin akan kalah," katanya.

Beliau berkata, rakyat kini menyokong Muafakat Nasional dengan harapan UMNO dan Pas bersama-sama memperjuangkan kepentingan Melayu serta Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!