'Doakan saya negatif'

Paparan status Facebook Ahmad Abdullah tular di laman sosial.
Paparan status Facebook Ahmad Abdullah tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling mohon orang ramai mendoakan dirinya negatif koronavirus (Covid-19) selepas menjalankan pemeriksaan hari ini.

Ahmad Abdullah Mustaffa Rashidi mencoret luahan tersebut di Facebook miliknya hari ini susulan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia dalam Ijitimak Tabligh yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pengesanan kontak dilakukan selepas laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei, mengesahkan kes positif wabak koronavirus pertama di negara itu mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

Lelaki berusia 42 tahun itu berkata, dia tampil melakukan pemeriksaan tersebut pada jam 11.30 pagi dan meminta orang ramai bertenang dan tidak panik.

"Jadi saya nak maklumkan, tenang sahaja, jangan menggelabah akan hal ini. Kami ke markas untuk lakukan pemeriksaan. Bagi yang takut dan kalut, sila kuarantin diri sendiri, jangan ke mana-mana selama 14 hari.

"Keputusan belum keluar, doakan saya negatif. Bagi sesiapa yang tak nak jumpa dalam 14 hari, tidak jadi masalah," kongsinya.

Dia turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mengundang panik masyarakat.

"Jangan gaduh-gaduh, jangan pandai jadi pemberita dan jangan macam-macam. Kami semua dah periksa, dah ikhtiar.

Artikel Berkaitan:

"Kalau risau bimbang, kita pindahkan risau ini kepada al-Quran, solat kita hari-hari, umat dan keluarga, alangkah baiknya.

"Beginilah Nabi Muhammad SAW mahukan umatnya risau bimbang akan hal iman, umat yang lain dengan kasih sayang," katanya.

Luahan tersebut menarik perhatian netizen yang mendoakan mereka terlibat negatif daripada wabak tersebut.

"Semoga ALLAH permudahkan," kata Helmi Azhar.

Irin Mohd Idris berkata, "Yang terlibat eloklah periksa sebab tak nak menyebarkan penyakit pada yang sihat pula. Memang ALLAH tetapkan tapi usaha kena ada, wallahualam."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!