UMNO kekal pendirian jadi parti semak, imbang
SHAH ALAM – UMNO kekal dengan pendirian untuk menjadi parti semak dan imbang dalam apa sahaja dasar yang akan dilaksanakan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana kerajaan yang baharu dibentuk itu bukanlah kerajaan UMNO atau Barisan Nasional (BN).
"UMNO terus kekal sebagai parti yang akan semak dan imbang apa juga dasar-dasar yang akan dilakukan kerajaan baharu ini walaupun kita ada wakil menteri dan timbalan menteri.
"Uniknya kali ini (dalam kerajaan baharu), semua kepimpinan parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden tidak berada dalam kerajaan.
"Jadi peranan yang boleh kita ambil sebagai penyambung lidah rakyat dan suara hati rakyat. Maknanya kita masih boleh semak dan imbang," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri 160 bertajuk 'Berubahkah Dasar Dengan Lantikan Menteri Baharu?' di Auditorium Karangkraf di sini malam ini.
Wacana Sinar Harian itu turut menampilkan penganalisis politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen serta moderator Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga akan memastikan segala isu yang dibangkitkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) melibatkan rakyat akan terus diperjuangkan.
"Sebagai contoh, paling utama bagaimana kita berhadapan dengan krisis ekonomi ekoran Covid-19 dan yang terbaharu harga minyak jatuh merudum.
"Maknanya kita akan berhadapan dengan krisis, jadi kita bincang apakah dasar dalam konteks hendak menyelamatkan negara dulu. Dalam konteks ekonomi yang saya rasa di permulaan penting yang kita bincangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!