Durakovic tetap bangga aksi pemain Perak

Pemain Perak, Norhakim Hassan cuba melepasi kawalan pertahanan Kedah, Rizal Ghazali. - Foto Perak FA
Pemain Perak, Norhakim Hassan cuba melepasi kawalan pertahanan Kedah, Rizal Ghazali. - Foto Perak FA
A
A
A

BIARPUN gagal memenangi trofi sulung Unity Shield apabila tewas 0-2 kepada Kedah di Stadium Darul Aman malam tadi, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain Perak.

Menurut Durakovic, pihaknya berbangga kerana kesebelasan yang beraksi telah mempamerkan mutu perlawanan yang baik ketika berdepan skuad Lang Merah itu yang mendapat sokongan lebih 25,000 penyokong sendiri.

Bagaimanapun katanya, kesebelasan anak didiknya itu masih mampu mengekang asakan-asakan bertali arus Kedah, selain turut mampu melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan.

“Ia satu perlawanan yang cukup menakjubkan. Lebih 25,000 penyokong Kedah memenuhi stadium. Kedua-dua pasukan juga beraksi dengan baik dengan mencipta beberapa peluang jaringan.

“Ya, kita lakukan kesilapan tetapi saya berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Durakovic berkata demikian bagi mengulas aksi kesebelasan anak didiknya ketika berdepan Kedah yang disifatkannya sebagai pasukan yang baik.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Kedah membuka jaringan menerusi pemain import, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-67 sebelum pemain gantian, Syahrul Azwari Ibrahim menanduk masuk gol kedua pada minit ke-75 bagi melengkapkan kemenangan.

Mengulas mengenai hasratnya untuk memberikan peluang kepada semua pemain beraksi, Durakovic berkata, pihaknya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi secara jujur, saya mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi malam ini, (semalam). Namun, saya berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan.

“Kami hanya mahu bermain bola sepak dan terbukti walaupun tanpa ramai pemain utama kami masih mampu bermain bola sepak dan saya gembira dengan aksi pemain-pemain.

“Mungkin kita akan adakan lagi beberapa perlawanan persahabatan selepas ini,” katanya.

Sementara itu Durakovic menyifatkan penganjuran Untiy Shield sebagai satu inisiatif yang baik dan ia perlu diteruskan pada masa hadapan.

Malah Durakovic mengakui kagum dengan suasana perlawanan yang cukup menarik apabila Stadium Darul Aman dibanjiri penyokong.

“Penganjuran piala ini satu inisiatif yang baik dan perlu diteruskan. Ia juga satu pendedahan yang baik bagi pemain-pemain muda,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!