173 peserta himpunan tabligh dari Tawau buat saringan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Seramai 173 orang dari Tawau yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas, telah tampil mendapatkan saringan koronavirus (Covid-19) di Klinik Kesihatan Tawau di sini sehingga jam 5 petang tadi.

Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran berkata, mereka adalah antara 350 jemaah tabligh dari Tawau yang menyertai perhimpunan itu.

"Kesemua mereka termasuk ahli keluarga masing-masing menjalankan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

"Kita menjangkakan rakan-rakan mereka (peserta perhimpunan tabligh yang lain) akan datang untuk mendapatkan pemeriksaan," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim berkata, pihak hospital itu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jangkitan itu di daerah ini.

"Pada masa ini, Hospital Tawau telah menyediakan 60 katil untuk satu-satu masa dan boleh ditambah lagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyiarkan sebarang maklumat tidak jelas mengenai Covid-19 di media sosial dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!