Boleh solat Jumaat di Pulau Pinang tetapi bersyarat: Mufti

Gambar kecil: Wan Salim
Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Solat Jumaat dan aktiviti lain di masjid atau surau di Pulau Pinang boleh diteruskan selagi Kementerian Kesihatan mengesahkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) masih terkawal.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagaimanapun kebenaran itu disusuli dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang selaras dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Beberapa syarat telah ditetapkan iaitu khutbah dipendekkan, mengambil wuduk di rumah dan mereka yang mempunyai simptom Covid-19 (batuk atau demam) tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

"Selain itu, pihak masjid atau jemaah hendaklah menyediakan sanitizer tangan dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan serta keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata, sekiranya keadaan wabak Covid-19 merebak tanpa terkawal dengan banyak individu yang telah disahkan positif, solat Jumaat harus tidak dilakukan, namun wajib diganti dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

"Keputusan meninggalkan solat Jumaat perlu dikeluarkan oleh pihak berkuasa setelah mendapat nasihat KKM. Larangan tersebut termasuk sebarang bentuk aktiviti dan perhimpunan sama ada rasmi atau tidak rasmi di masjid atau surau.

"Sehubungan itu, seluruh umat Islam dinasihatkan menjaga kebersihan dan kesihatan seperti yang dicadangkan oleh KKM serta menghadkan kegiatan yang melibatkan pergaulan secara umum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!