Pakej, hadiah menarik menanti pengunjung Malaysia Travel Fair
PELBAGAI pakej percutian menarik ditawarkan kepada pengunjung Malaysia Travel Fair vang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di sini bermula hari ini sehingga 15 Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Travel Fair, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, seramai 100,000 orang dijangka mengunjungi ekspo pelancongan terbesar yang berlangsung selama tiga hari itu.
"Kami telah menerima banyak sumbangan hadiah untuk diberikan kepada pengunjung bertuah," katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata, antara penaja yang menjayakan Malaysia Travel Fair ialah Palace of The Golden Horses, Air Arabia, Malindo Air, Telekom Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Hop On Hop Off, McDonalds, Royal Chulan Seremban dan Kopi Hang Tuah.
Katanya, Housecoff Travel & Tours, Barakah Umhaj Travel & Tours, Kurma Travel & Tours, Gemala Travel & Tours dan D'Wharf Hotel juga merupakan penaja hadiah untuk ekspo kali ini.
Dalam pada itu katanya, #MalaysiaIsSafe yang diuar-uarkan oleh Malaysia Travel Fair sebagai negara yang selamat untuk dikunjungi akan menyediakan thermal scanner bagi menyaring pengunjung.
"Di samping itu, World Trade Centre, Kuala Lumpur akan memastikan keadaan sepanjang Malaysia Travel Fair ini terjaga dengan menyediakan sanitizer sekitar tapak pameran.
"Jadi para pengunjung tidak perlu gusar atau berasa was-was untuk mengunjungi Malaysia Travel Fair," katanya.
Sementara itu Mohd Khalid berkata, DITOFA sebuah platform pintar yang direka khusus untuk membantu pemain industri pelancongan mempromosi dan menjual semua produk pelancongan di atas satu platform juga akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Travel Fair.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!