Solat Jumaat di Pahang diteruskan seperti biasa

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Solat Jumaat di Pahang hari ini diteruskan seperti biasa biarpun tercetus kebimbangan penularan koronavirus (Covid-19).

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, belum ada keperluan ibadah wajib itu dibatalkan mengambil kira situasi semasa wabak itu di negeri yang masih terkawal dan belum sampai ke tahap darurat.

Menurutnya, bagaimanapun jika wabak itu semakin membimbangkan, langkah membatalkan solat Jumaat akan datang mungkin diambil jika ada saranan dan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

"Setakat ini, semua masjid diminta mengadakan bacaan qunut nazilah pada solat Jumaat bermula hari ini sebagaimana saranan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Yang lain semuanya macam biasa, begitu juga dengan bacaan khutbah Jumaat, tidak perlu dipendekkan kerana khutbah kita di sini pun sudah pendek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, individu yang bergejala seperti batuk, selesema dan demam serta bimbang dijangkiti Covid-19 tergolong di bawah uzur syarie yang tidak diwajibkan untuk solat Jumaat.

"Dalam situasi sekarang, timbul kebimbangan terhadap penularan wabak ini, jadi bagi mereka yang sakit tidak wajib untuk menunaikan solat Jumaat jika bimbang akan menjangkiti orang lain.

"Selain itu takut dan hujan juga membolehkan kita tidak mengerjakan solat Jumaat yang diizin syarie.

Artikel Berkaitan:

“Takut ini termasuklah kebimbangan dijangkiti Covid-19 atau mereka yang ada gejala itu dan bimbang ia menjangkiti orang lain. Dalam keadaan ini dibolehkan syarak untuk mereka tidak hadir solat Jumaat," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang hadir solat Jumaat perlu mengambil langkah pencegahan seperti mana saranan KKM bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.

"Orang ramai juga diminta supaya banyak berdoa dan membuat solat hajat memohon pertolongan ALLAH agar terselamat dari wabak ini dan penularannya berakhir dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!