Idris, Norhizam antara 10 Exco Melaka

Sulaiman menunjukkan fail kerahsiaan senarai Exco kerajaan baharu Perikatan Nasional Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh tadi.
Sulaiman menunjukkan fail kerahsiaan senarai Exco kerajaan baharu Perikatan Nasional Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh tadi.
A
A
A
MELAKA TENGAH - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang bakal dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah Luar Bandar dan Pengurusan Banjir.

Dua Exco Melaka semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyokong gabungan Perikatan Nasional dilantik semula memegang portfolio sama iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Norhizam yang juga bekas ADUN DAP dilantik semula sebagai Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani manakala Muhammad Jailani dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, tiga ADUN itu antara 10 barisan Exco yang akan menerajui kerajaan negeri Melaka baharu di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau yang juga ADUN Lendu mengumumkan akan memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

"Dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rafiq Naizamohideen dilantik sebagai Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan manakala Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi.

"Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan-BN); Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Latifah Omar (Taboh Naning-BN) dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Datuk Roslan Datuk Ahmad (Merlimau-BN) serta Exco Kesihatan dan Antidadah, Rahmad Mariman (Ayer Molek-BN)," katanya pada sidang media di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, semua senarai 10 Exco tersebut telah dipersembahkan dan diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebelum majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh petang ini.

"Tun (Mohd Khalil) melihat pada individu yang dilantik dengan begitu teliti supaya kerajaan ini dapat memenuhi kemahiran serta kehendak rakyat serta mentadbir urus negeri Melaka sebaik mungkin.
Artikel Berkaitan:


"Istiadat angkat sumpah simpan rahsia yang baharu ini akan diadakan di hadapan Tun jam 2.30 petang ini," katanya

Beliau turut memberitahu masih terdapat satu portfolio yang masih dikosongkan iaitu Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna dan dijangka diisi dalam tempoh sebulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!