DAP Perak saran pilih Exco rekod bersih

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

IPOH - DAP Perak menyarankan penubuhan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri harus bersih daripada anggota yang telah mengkhianati mandat rakyat atau yang sedang didakwa di Mahkamah.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, hanya mereka yang mempunyai rekod bersih boleh dipertimbangkan untuk dilantik memegang jawatan Exco.

“Selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen, penubuhan Exco itu haruslah bersih daripada anggota yang mengkhianati serta individu-individu yang telah dan sedang didakwa di Mahkamah.

“Demi kewibawaan kerajaan di bawah naungan Sultan Perak, hanya mereka yang bersih dipertimbangkan untuk pelantikan jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berasa kecewa dan mengecam tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan yang melompat parti sekali gus mengkhianati mandat rakyat.

“DAP Perak ingin menyatakan, kerajaan ’Perikatan Nasional’ yang terdiri gabungan UMNO, Pas, Bersatu dan ADUN yang melompat parti tidak pernah sekali memperoleh mandat daripada rakyat dan tidak direstui oleh pengundi.

“DAP Perak menjunjung kasih ke hadapan Sultan Perak atas perkenan melantik Menteri Besar Perak. Semoga dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Tuanku akan terus memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar ke arah negeri yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!