Doa anak autisme buat Menteri Agama sebak
KUALA LUMPUR - "Sebak membaca surat anakanda Wan Aiman yang dikasihi."
Itu luahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang tersentuh dengan sekeping warkah seorang remaja autisme bernama Wan Azmeen Aiman Wan Ahmad.
Remaja berusia 14 tahun itu mengucapkan tahniah di atas pelantikan Zulkifli sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan mendoakan beliau tabah menjalankan tugas serta amanah ALLAH SWT.
"Aiman doakan moga Malaysia negara Islam yang amat tenteram. Harapan Aiman, moga semua anak istimewa diberi peluang mengenal ALLAH dan sentiasa dekatkan diri kepada-Nya walaupun kami anak autisme, kami juga makhluk ciptaan ALLAH.
"Doakan Aiman moga sentiasa patuh dan taat perintah ALLAH. Aiman sayang Datuk Seri kerana ALLAH SWT," tulis kanak-kanak itu.
Wan Aiman juga sempat menulis pantun buat Zulkifli;
Dua tiga kucing berlari
Manakan sama si kucing belang
Doa Aiman setiap hari
Moga ALLAH rahmati Datuk Seri insan terbilang
Zulkifli menerusi Twitternya mengakui sebak malah kagum keperibadian Wan Aiman, seorang remaja autisme yang pintar.
Sebak membaca surat anakanda Wan Aiman yang dikasihi. Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lalu, pasti kenal anakanda Wan Aiman. Remaja autisme yang pintar dan amat meminati saya. Ini surat terbaharu yang beliau serahkan sendiri kepada saya (1/2)
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzul_albakri) March 13, 2020
pic.twitter.com/wPMqfoMtGq
"Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lalu, pasti kenal anakanda Wan Aiman. Remaja autisme yang pintar dan amat meminati saya. Ini surat terbaru yang beliau serahkan sendiri kepada saya.
"Aiman jual pantun, saya beli ya;
Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing hitam,
Anakanda Wan Aiman yang ALLAH kasihi,
Jangan ditinggal solat malam.
"Itulah kunci kekuatan seorang hamba kepadaNYA," tulis Dr Zulkifli mengakhiri ciapannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!