Pelajar merokok makin berleluasa
DALAM kesibukan kerajaan dan masyarakat memperketatkan kawasan larangan merokok di restoran dan tempat awam, kita semua seolah-olah terlupa gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa.
Bukan lagi bersembunyi, malah mereka berani menghisap rokok secara terang-terangan di tempat awam.
Buktinya Wartawan Sinar Siasat menemukan satu lokasi pelajar merokok tidak jauh dari kawasan sekolah di Shah Alam Selangor. Bukan lokasi tersorok dalam hutan atau dalam gua, sebaliknya lokasi itu di bawah pokok hadapan sebuah premis menjual minuman dan bersebelahan pula dengan kedai runcit, selain ia juga tempat lalu lalang orang ramai.
Namun sepanjang pemerhatian Wartawan Sinar Siasat di lokasi itu selama empat hari, tiada seorang pun orang awam datang mencegah atau menegur kegiatan kumpulan pelajar sekolah itu.
Berdasarkan tinjauan Wartawan Sinar Siasat, pelajar-pelajar lengkap dengan uniform dan segelintirnya memakai baju pendidikan jasmani memiliki lencana sekolah dilihat selamba menghisap rokok.
Mereka dilihat sama ada menghisap sebatang rokok setiap seorang atau berkongsi sesama rakan sebaya mereka bahkan ada yang saling berlawan membuat kepulan asap dari mulut masing-masing. Mereka mengepit batang rokok itu dengan penuh bangga dan tanpa rasa takut-takut sejurus keluar dari pagar sekolah.
Persoalannya bagaimana pelajar-pelajar sekolah ini dengan mudah membeli rokok sedangkan mengikut undang-undang rokok tidak boleh dijual kepada pembeli bawah 18 tahun?
Ketika tinjauan dilakukan, pelajar berkenaan mengetahui gambar mereka dirakam dan mula beredar.
Selain itu, Wartawan Sinar Siasat juga menerima halangan daripada sebuah premis makanan yang tidak membenarkan kami membuat rakaman dari premis berkenaan.
Menurut pemiliknya, premis itu sebelum ini antara tempat melepak pelajar sekolah untuk merokok tetapi tidak berlaku lagi berikutan arahan premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa awal tahun ini.
Wartawan Sinar Siasat juga meninjau untuk melihat sejauh mana aktiviti pelajar sekolah itu berlangsung sepanjang tengah hari atau selepas waktu persekolahan itu.
Didapati sekitar jam 3 petang, terdapat beberapa pelajar yang masih melepak sambil menghisap rokok tanpa ada mana-mana pihak datang menegur. Wartawan Sinar Siasat membuat pemerhatian di lokasi itu selama empat hari, tiada siapa pun yang datang mencegah dan mereka seperti bangga mengepit rokok di jari dan menghembus asap rokok ke udara tanpa rasa bersalah!
Banyak kesan negatif daripada perbuatan ini kerana pada kebiasaannya remaja terjebak dengan dadah bermula dengan menghisap rokok.
Sepanjang empat hari membuat tinjauan, kumpulan pelajar sekolah berkenaan sepertinya sudah terbiasa melepak serta menghisap rokok seolah-olah tiada apa perlu dirisaukan di lokasi berkenaan sedangkan kawasan itu adalah tempat terbuka.
Adakah ibu bapa tidak mengendahkan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka? Atau ini adalah situasi yang sudah biasa berlaku di negara kita apabila pelajar sekolah boleh bebas menghisap rokok di tempat terbuka tanpa rasa takut?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!