Lelaki Cina nekad peluk Islam selepas terima hidayah
KUALA LUMPUR - Ketika hidup dirundung masalah seorang lelaki Tionghua menerima hidayah dan memeluk Islam kerana percaya ALLAH itu Maha Pengasih.
Pendakwah bebas, Ustaz Amir Ng berkongsi kisah lelaki berkenaan di Facebooknya selepas mengislamkan saudara baharu yang dinamakan Muhammad Aziz Chong.
Ustaz Amir Ng memberitahu, ketika ditanya Muhammad Aziz sebab hatinya terbuka untuk Islam, lelaki itu memberitahu dia dibantu ALLAH SWT ketika ditimpa musibah.
"Muhammad Aziz juga memberitahu, dia meminta pertolongan daripada ALLAH dan ALLAH makbulkan doanya walaupun ketika itu dia belum memeluk Islam kerana ALLAH adalah Maha Pengasih," katanya di Facebook.
Ustaz Amir Ng berkata, selepas kejadian itu Muhammad Aziz menghubunginya dan berhasrat memeluk Islam.
"Semalam menerima satu panggilan dari seorang hamba ALLAH, kawan anak murid saya memberitahu hasrat untuk kembali kepada Islam.
"Sebelum ini, beliau kata pernah menghubungi saya dan hari ini dapat kami berjumpa serta ALLAH membuka pintu hati dia untuk kembali kepada Islam. Dan mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Negara Kuala Lumpur," katanya.
Ustaz Amir Ng juga menunaikan solat Zohor secara berjemaah bersama Muhammad Aziz dan berharap dia menerima hidayah menjadi seorang Muslim sejati.
Luahan dan perkongsian Ustaz Amir Ng menarik perhatian netizen yang turut bersyukur dengan berita gembira itu.
Maryam Siti berkata, "Alhamdulillah, semoga ilmu dan sabar akan menjadikan dirinya lebih tekun beribadah kepada ALLAH.
Zu Baidah pula berkata, "Alhamdulillah bertambah umat Nabi Muhammad."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!