Suami isteri meninggal dunia selang dua jam akibat Covid-19
BERGAMO - Setelah berkongsi kasih sayang selama 60 tahun, cinta pasangan suami isteri dari pekan Albino, Wilayah Bergamo utara, Itali telah berakhir dengan kedua-duanya meninggal dunia akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Lebih dianggap pilu, apabila pasangan itu meninggal dunia cuma selang dua jam pada hari sama.
Sebelum meninggal dunia, Severa Belotti, 82, dan Luigi Carrara, 86, didakwa dikuarantin dalam rumah selama lapan hari dan mengalami demam panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celsius.
Anak lelaki pasangan itu, Luca memberitahu, bapanya dikejarkan ke Hospital Bergamo pada Sabtu manakala ibunya dimasukkan ke pusat rawatan itu pada keesokan hari.
Kematian pasangan dianggap 'sehidup semati' itu direkodkan masing-masing pada jam 9.15 dan 11 pagi, pada Selasa lalu, lapor Daily Mail.
Menurut Luca, dia berasa sedih kerana tidak dapat bertemu atau melihat mayat ibu bapanya bagi memberi penghormatan terakhir berikutan virus tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!