Sembilan ADUN Melaka angkat sumpah Exco

Mohd Khalil (Tengah) bergambar bersama barisan Exco baharu kerajaan Negeri Melaka selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mohd Khalil (Tengah) bergambar bersama barisan Exco baharu kerajaan Negeri Melaka selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai sembilan Exco negeri Melaka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mendahului senarai ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang memegang portfolio Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dilantik sebagai Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir; ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan) serta ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan).

ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar pula dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan manakala ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad memegang portfolio Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur.

Selain itu, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilantik Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi; ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Kesihatan dan Antidadah) dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Exco di Jabatan Ketua Menteri).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali mengucapkan tahniah kepada semua Exco yang dilantik dan berharap tanggungjawab serta amanah besar yang digalas itu dilaksana dengan sempurna.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional negeri akan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat khususnya dalam isu berkaitan air serta penularan Covid-19.

Katanya, ia termasuk meneruskan agenda pembangunan negeri bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain menarik lebih banyak pelaburan baharu sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu merancakkan sektor pelancongan dan paling utama ialah memperkasa kebajikan rakyat secara keseluruhan," katanya.

Sulaiman berkata, pelaburan baharu juga akan menjadi fokus utama dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Sasaran utama kita menarik semula keyakinan pelabur untuk kembali ke Melaka supaya dapat mencapai sasaran tahunan pelaburan negeri sebanyak RM5 bilion," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!