Mungkin akan ada lagi ADUN PH keluar parti: Norhizam
MELAKA TENGAH- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak menolak kemungkinan terdapat seorang ADUN dari Pakatan Harapan (PH) di Melaka berhasrat keluar parti.
Menurut Norhizam, bagaimanapun beliau belum menghubungi ADUN yang dimaksudkan itu bagi mendapatkan kepastian lanjut berhubung hasrat individu tersebut untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bekas ADUN DAP itu berkata, adalah terpulang kepada individu berkenaan untuk menentukan haluan perjalanan politiknya.
"Saya dengar begitu (ADUN keluar parti) namun saya tak pasti. Terpulang kepada individu itu," katanya kepada pemberita selepas Istiadat angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco itu, Norhizam mengangkat sumpah sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi sekaligus mengekalkan portfolionya sebelum ini.
Sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan ADUN Gadek, G Saminathan yang sebelum ini dikaitkan dengan isu memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didakwa akan meninggalkan parti DAP untuk menyertai Perikatan Nasional bagaimanapun desas-desus itu telah dinafikan oleh isteri ADUN tersebut, V.Uma Devi, 32.
Begitu juga bekas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Ginie Lim Swee Lin (Machap Jaya-PKR) turut didakwa akan mengikut jejak Norhizam.
Ditanya mengenai pemecatan beliau dari DAP, Norhizam berkata, beliau berterima kasih kepada parti itu yang menjadi platform untuknya dikenali ramai.
"Terima kasih DAP, kalau tak ada DAP orang tak kenal saya. Satu Malaysia kenal saya, jadi saya ucap terima kasih. Insha-ALLAH saya akan bersamaparti dalam Perikatan Nasional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!