Pencuri kebas dekoder CCTV masjid
TEMERLOH - Pencuri yang memecah masuk Masjid Tok Mahadi Kampung Paya Jauh di sini mencuri dekoder kamera lintar tertutup (CCTV) bernilai RM200 dipercayai kerana bimbang wajahnya dikesan polis.
Pencuri terbabit dikatakan memecah masuk bilik bilal masjid kira-kira jam 4.40 petang dengan memecahkan tombol pintu yang berkunci.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pemeriksaan mendapati dekoder CCTV di bilik tersebut hilang tetapi tabung masjid yang diletakkan di ruang solat tiada kesan umpil atau pecah.
"Pemeriksaan tabung oleh bendahari masjid mendapati wang tidak berkurangan. Mungkin suspek mengambil dekoder kerana bimbang gambar yang dirakam CCTV dapat dikenal pasti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pintu masjid tersebut sentiasa dibuka untuk kemudahan penduduk kampung itu menunaikan solat.
"Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek yang terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!