Covid-19: Kuil Pulau Pinang dinasihatkan henti aktiviti perhimpunan
GEORGTOWN- Semua kuil Hindu di Pulau Pinang dinasihatkan menangguh atau membatalkan semua program atau aktiviti yang menghimpunkan orang awam di kuil berikutan penularan koronavirus (Covid-19).
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya mengambil kira nasihat dan panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penularan wabak berkenaan sekali gus sebagai salah satu langkah berjaga-jaga.
"Covid-19 telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Oleh itu, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang menasihatkan semua kuil Hindu di negeri ini supaya menangguh atau membatalkan sebarang program atau aktiviti yang menghimpunkan orang awam di kuil.
"Tindakan pro-aktif ini adalah satu keperluan yang mana perhimpunan awam dikenalpasti sebagai salah satu risiko penularan Covid-19 dan KKM telah menasihatkan supaya semua jenis perhimpunan ditangguh atau dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramasamy berkata, bagaimanapun semua kuil di negeri ini boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
"Aktiviti harian boleh diteruskan seperti biasa dengan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memeriksa suhu badan dan menyediakan sanitizer tangan. Kuil-kuil Hindu juga digalakkan untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penularan virus Covid-19 dan kebersihan diri untuk mengawal penularan virus ini.
"Masyarakat Malaysia termasuk institusi agama seperti kuil juga harus memainkan peranan dalam menangani penularan virus ini. Saya harap semua jawatankuasa kuil Hindu di Pulau Pinang akan mengambil serius nasihat dan panduan ini, demi memastikan masyarakat Pulau Pinang selamat daripada jangkitan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!