Kementerian bincang polisi pemakaian pramugari

Siti Zailah
Siti Zailah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK), Siti Zailah Mohd Yusoff berhasrat merealisasikan pelaksanaan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari.

Menurutnya, polisi itu hanya termaktub kepada pekerja wanita yang beragama Islam sahaja manakala mereka yang bukan beragama Islam memadai sekadar berpakaian sopan.

“Jadi Insya-Allah dengan kerajaan yang ada ini saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.

“Sebab kita perlu kepada pindaan undang-undang, terutama Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita. Bagi mereka yang bukan Islam, kita tidak paksa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan agihan makanan kepada golongan memerlukan di Pejabat Agung Pas di sini, hari ini.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang pernah membangkitkan perkara itu bagi membolehkan anak kapal menutup aurat dapat diwajibkan ke atas semua syarikat penerbangan.

Beliau turut menggesa polisi itu dapat dilaksanakan di semua sektor swasta agar pakaian seragam pekerja dapat menutup aurat sebagaimana disyariatkan oleh Islam.

Mengulas lanjut, Siti Zailah mendakwa, ada segelintir pramugari mengadu kepadanya bahawa mereka juga tidak selesa dengan pakaian yang singkat dan ketat.

“Masyarakat juga tidak bersetuju dengan pakaian seragam pramugari yang dikatakan menjolok mata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah memaklumkan akan melakukan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Belia dan Sukan bagi membincangkan tentang pakaian patuh syariat dalam kalangan atlet negara khususnya yang beragama Islam.

“Kita akan bincang dengan pihak Kementerian Wanita dan Keluarga berhubung perkara ini. Kami masih baharu dalam kerajaan, tetapi banyak perkara yang kita atur dan saya akan bincangkan bersama dengan YB Menteri nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!