Covid-19: Shopee buat bayaran balik penuh tiket Liga-M
KUALA LUMPUR- Shopee menghentikan penjualan tiket semua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M), berikutan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk perlawanan minggu ini berlangsung tanpa penyokong, berikutan penularan koronavirus (Covid-19).
Menurut Shopee dalam satu kenyataan, peminat bola sepak tempatan yang telah membeli tiket bagi aksi Liga Super membabitkan Petaling Jaya (PJ City) FC dan Terengganu FC; Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United FC; serta Kedah dan Selangor; menerusi platform e-dagang itu, akan mendapat bayaran balik penuh selewat-lewatnya pada Rabu ini.
“Pengguna yang memerlukan maklumat berkaitan bayaran balik, boleh menghantar emel ke alamat help@support.shopee.com.my atau menghubungi talian 03-27779222, Isnin hingga Ahad, 9 pagi hingga 6 petang, termasuk cuti umum,” menurut kenyataan itu hari ini.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan, semua perlawanan Liga-M pada hari ini hingga Ahad, akan berlangsung tanpa penonton, manakala semua perlawanan ditangguhkan bermula Isnin ini sehingga diberitahu kelak.
Semua perlawanan Liga-M membabitkan Liga Super, Liga Premier, Liga M3, Liga M4 dan saingan Piala FA.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!