Masih banyak pintu terbuka
WALAUPUN setiap manusia dikurniakan akal untuk menguruskan kehidupan, namun masih ramai yang tidak sedar tentang hakikat hidup. Apa yang jelas, begitu ketara yang belum memahami maksud rezeki. Malah tidak ramai yang boleh hadam tentang ujian dan ketetapan daripada ALLAH.
Selain itu, masih ada yang mengharapkan kesaksamaan dan keadilan di atas muka bumi ini. Tidak kurang juga mudah berputus asa serta tidak meletakkan harapan langsung untuk mencipta kejayaan. Akhirnya, mereka akan sentiasa jerlus sepanjang meneruskan pengembaraan hidup.
Sebetulnya, ramai yang masih tidak yakin dengan keupayaan diri sendiri untuk berjaya. Kebanyakannya masih dengan cara dan corak pemikiran yang lama. Bagi mereka, untuk berjaya mestilah mengikut jalan yang telah diterokai oleh orang lain sebelum ini.
Jika, seseorang itu berjaya kerana bekerja dengan pihak kerajaan, maka berduyun-duyunlah yang memohon untuk bekerja dengan kerajaan. Maka, tidak hairanlah jika sesuatu jawatan yang diiklankan terdapat hampir beratus ribu yang memohon. Begitu juga dengan menceburi bidang perniagaan. Jika sebelum ini ada yang berjaya menerusi perniagaan food truck maka berpusu-pusulah pula ingin berniaga dengan cara tersebut sehingga terdapat lambakan pula.
Selain itu, ada juga yang mahu berjaya dengan jalan yang mudah. Apa sahaja kerja disambar oleh mereka walaupun menyedari bahawa tempat kerjanya adalah berorientasikan scammer. Halal dan haram sudah tidak dipedulikan lagi asalkan ada duit masuk.
Malah terdapat juga yang sanggup melakukan kerja-kerja haram seperti mengedar dadah, menjual badan serta pelbagai lagi kerja di mana penyudah di dunia adalah ke tempat pemulihan dan juga penjara.Terdapat juga yang sentiasa berusaha untuk menjadi terkenal dan popular.
Walaupun rupa tiada dan suara pula ke laut tetap berusaha untuk menjadi seorang pelakon dan penyanyi. Apabila gagal mula menyalahkan dunia yang tidak adil kepada mereka. Begitu juga yang terikut-ikut ingin menjadi jutawan dalam bidang kosmetik kerana ramai yang telah berjaya.
Pendek kata, semua kaedah yang digunakan oleh mereka yang berjaya sebelum ini ditiru bulat-bulat. Namun, berlebihan pula sehingga tercalar maruah dan harga diri dek ingin cepat terkenal dan berjaya. Akhirnya, mereka letih mengejar semua itu kerana niatnya adalah untuk menjadi terkenal dan bukannya untuk mencari keberkatan daripada ALLAH
Peluang
Berkaitan hal ini, kebanyakan kita bersikap demikian kerana tidak menghargai bakat dan kebolehan yang ada pada diri sendiri. Bagi yang berani dan kreatif, mereka akan sentiasa mencari jalan dan meneroka peluang-peluang baru. Selain itu, mereka sanggup melakukan pengorbanan yang tinggi untuk mendapatkan hasil yang lebih besar contohnya, berhenti bekerja sebagai jurutera untuk mengusahakan tanaman sayur sehingga dinobatkan petani yang berjaya. Kesemua ini adalah hasil kepercayaan yang tinggi bahawa rezeki sentiasa ada di mana-mana.
Pun begitu, kegagalan kita untuk meneroka rezeki yang lebih luas adalah kerana begitu jauh dengan Penciptanya. Berkaitan hal ini, Dr Yusof Al-Qaradhawi ada memetik kata-kata Ibn Qaiyim menerusi bukunya Kemanisan Iman iaitu, “Dalam hati terdapat perpecahan yang tidak dapat disatukan kecuali berhadapan kepada ALLAH.
Padanya ada sifat liar yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengan berjinak kepada ALLAH. Padanya ada kedukaan yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kegembiraan, mengenali dan berhubung dengan ALLAH. Padanya ada kebimbangan yang tidak dapat ditenteramkan melainkan dengan menghadap ALLAH.
Padanya ada api kehampaan yang tidak akan padam melainkan dengan reda terhadap perintah, larangan, ketentuan dan sentiasa sabar atas segala-galanya sehingga menemui-Nya. Padanya ada kekurangan yang tidak dapat ditampung melainkan dengan mencintai, mengasihani-Nya, sentiasa mengingati-Nya dan benar-benar ikhlas terhadapnya. Kalaulah diberi dunia dan seluruh isinya kepada manusia, ia tetap tidak akan dapat menampung kekurangan itu.”
Ingatlah, dunia ini bukannya sejengkal dan banyak sungguh peluang yang boleh diterokai. Usah terlalu lama menunggu di pintu yang tertutup, sedangkan masih banyak pintu yang sudah terbuka.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!