Dr Mahathir, Muhyiddin perlu ketepikan kepentingan demi Bersatu
ALOR SETAR - AhIi akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap pimpinan tertinggi parti itu berlapang dada dengan mengenepikan kepentingan masing-masing.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail berkata, hanya kedua-dua pemimpin tertinggi Bersatu, iaitu Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menamatkan babak sedih politik negara selain menyatukan semula parti itu.
“Rasanya ada pihak sengaja memecah-belahkan Bersatu, termasuk untuk wujudkan kem dalam kalangan pimpinan sendiri. Kami berharap pimpinan tertinggi meletakkan kepentingan sendiri di tepi demi perpaduan dalam parti,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, Dr Mahathir meminta ahIi Bersatu membuat pilihan pemimpin yang layak menerajui parti itu pada pemilihan parti akan datang susulan wujud penyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.
“Kita masih berharap apa yang berlaku hanyalah perbezaan ijtihad politik. Umpama bergaduh adik-beradik yang perlu diselesaikan dan mampu ditautkan kembali selepas pemilihan parti,” katanya.
Mengulas penyelesaian terbaik dalam menyatukan semula dua kem terbabit terutama kalangan Armada yang kemungkinan masih tercari-cari arah sama ada menurut perjuangan pemimpin tertentu atau mentaati parti, katanya, ahli Armada perlu berjiwa besar dan memainkan peranan sebagai agen penyatuan.
“Pimpinan Armada perlu membimbing ahlinya ke arah budaya politik baharu, berprinsip setia bersatu dalam apa keadaan sekalipun ketika berdepan ujian ini,” katanya.
Menurutnya, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan meraikan perbezaan dengan tidak melampaui batas sehingga wujud pertelingkahan.
“Kita semua wajib taat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti mana diperkenankan baginda. Semua ahli perlu menjadi ‘party centric’ bukannya ‘leader centric’,” katanya.
Muzzammil yang juga calon Ketua Armada menasihatkan ahli Armada memilih pemimpin yang disenangi dan mampu membawa hala tuju perjuangan selari kehendak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terutama Presiden Parti.
“Pimpinan yang dipilih pada pemilihan parti kelak hendaklah berdasarkan kewibawaan dari segi kelayakan, selain terbukti mampu menyatupadukan ahli serta benar-benar faham permasalahan terutama hal kebajikan dan ekonomi, serta berkemampuan menawarkan solusi,” katanya.
Menurutnya, pemilihan kali ini penting dalam memilih ‘ketua perang’ yang akan mengemudi sayap Pemuda sebagai jentera terpenting pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!