FAM batal kem latihan pusat skuad Harimau Malaya
SELAIN menangguhkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) berkuat kuasa Isnin depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membatalkan latihan pusat Harimau Malaya akibat kebimbangan wabak koronavirus (Covid-19).
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Sebelum ini, kami telah merancang untuk mengisi perlawanan domestik ke dalam slot perlawanan antarabangsa memandangkan tiada sebarang perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan kebangsaan pada bulan ini.
“Namun, cadangan itu tidak dapat diteruskan kerana kita mahu mengutamakan keselamatan semua pihak kerana kita sedar wabak Covid-19 ini adalah permasalahan global, maka kami harus mengambil langkah proaktif dan melaksanakan keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak.
“Jadi tiada panggilan latihan pusat skuad kebangsaan dan perlawanan persahabatan sehingga wabak ini selesai. Marilah kita semua berdoa agar wabak Covid-19 dapat ditangani segera dan kita akan dapat meneruskan semula saingan bola sepak dan juga aksi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Awal minggu ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya sedang menunggu jawapan rasmi dari New Zealand untuk mengadakan aksi persahabatan susulan penundaan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bulan ini dan Jun akibat penularan Covid-19.
Malah, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut meminta satu aksi persahabatan dapat diatur agar momentum para pemainnya tidak terjejas.
Sebelum itu, aksi persahabatan menentang Bahrain yang dijadualkan pada 21 Mac ini dibatalkan kerana kerajaan Bahrain telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!