Rakyat Malaysia diseru bersatu perangi Covid-19: Permaisuri Johor

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU- Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini meminta rakyat Malaysia agar bersatu dalam kebimbangan yang semakin meningkat berikutan penularan koronavirus (Covid-19) yang telah menjejaskan kehidupan di peringkat global.

Dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook Royal Johor hari ini bertajuk ‘Virus Tidak Diskriminasi’, Permaisuri Johor bertitah virus dan penyakit tidak mengenali atau peduli tentang warna kulit individu; dan apa jua kepercayaan mereka.

“Tidak ada virus yang mendiskriminasi dan memilih berdasarkan ideologi politik kita: sama ada menyokong ke kanan, ke kiri atau berada di tengah-tengah. Virus tidak mempedulikannya. Mereka tidak membaca fikiran kita. Tetapi kita mempunyai tubuh badan yang boleh mereka serang,” titah baginda.

Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, baginda menegaskan hari, minggu dan bulan yang mendatang bukanlah masa yang terbaik bagi orang ramai untuk bertelagah dan bersengketa tentang isu sosial atau politik.

“Jika terdapat masalah sosial yang kita fikir harus tangani, jadi buatlah sesuatu mengenainya, bukannya duduk di rumah dan menjadi pengkritik tanpa melakukan apa-apa dan melontarkan kata-kata bersifat kebencian, atau nasihat yang baik tetapi tidak sesuai,” titah baginda.

Permaisuri Johor juga menegaskan kuasa atau kedudukan tidak akan melindungi sesiapa juga daripada jangkitan koronavirus.

“(Malah) isteri kepada Perdana Menteri Kanada Sophie Trudeau telah diuji positif, begitu juga bintang ternama Hollywood Tom Hanks dan isterinya, Rita Wilson.

“Ekonomi di seluruh dunia terus merudum. Dunia perniagaan dan sukan terjejas teruk. Covid-19 telah hampir melumpuhkan dunia.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, kesihatan orang yang kita sayangi, sahabat-sahabat kita, jiran tetangga dan masyarakat harus menjadi keutamaan kita,” titah baginda.

Raja Zarith Sofiah, yang juga Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bertitah semua orang harus memainkan peranan dalam melindungi negara daripada peningkatan kes dan cara untuk melakukan itu ialah, dengan memberi perhatian kepada nasihat yang diberikan pihak berkuasa kesihatan.

“Sekarang adalah masanya untuk membuktikan rakyat Malaysia adalah bertanggungjawab dan mengambil berat. Sekarang adalah masanya bagi kita untuk menunjukkan bahawa kita adalah matang yang tahu apa yang dipertaruhkan dan kehidupan setiap individu warga Malaysia tanpa mengira bangsa, kefahaman atau agama adalah penting.

“Mengambil kata-kata daripada satu jenama sukan, kita perlu berhenti fikir yang kita tahu segalanya, atau kita seorang ahli politik berpengalaman atau penganalisis sosial, tetapi sebaliknya ikutilah panduan pihak berkuasa kesihatan dan perubatan dan “Just do it”,” titah baginda.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!