Mencari boron Hutan Melintang

Misi mencari spesies pecah periuk di bawah pokok yang hanyut di laut. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA
Misi mencari spesies pecah periuk di bawah pokok yang hanyut di laut. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA
A
A
A

BARU-BARU ini Kelab Rekreasi Majlis Bandaraya Shah Alam (KRMBSA), Selangor telah menganjurkan trip dua hari satu malam mencari ikan boron di perairan Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

Seawal jam 7 pagi, kesemua seramai 12 peserta program bersiap sedia berkumpul di jeti Bagan Datuk, Perak. Sambil menunggu tekong bot Ah Seng sampai, masa terluang digunakan untuk memeriksa kelengkapan masing-masing. Perjalanan dari jeti ke lubuk memancing mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk sampai.

Setibanya di lubuk pertama, semua peserta terus sahaja memancing. Tangkapan pertama iaitu aruan tasik atau dikenali cobia dengan berat 2 kilogram (kg) berjaya dinaikkan menggunakan umpan hirisan kembung segar. Ikan kedua dinaikkan juga daripada spesies yang sama dengan berat kira-kira 1.7kg.

Sejam berada di lubuk pertama akhirnya boron yang beratnya kira-kira 3kg berjaya dinaikkan menggunakan kekili elektrik. Tidak lama selepas itu, beberapa ekor merah dan gerut-gerut pula berjaya dinaikkan.

Antara spesies ikan yang ditangkap. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA
Antara spesies ikan yang ditangkap. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA

Rezeki peserta lebih murah selepas berpindah di lubuk kedua apabila tekong berjaya menemukan kelompok cencaru bersaiz sederhana. Kesemua peserta menggunakan teknik apollo berpesta menaikkan cencaru dengan hasil tangkapan hampir 100kg cencaru berjaya diperoleh.

Pada tengah hari peserta dihidangkan menu ikan segar yang baru dinaikkan. Walaupun ringkas dan sederhana, nikmat merasai ikan segar paling tidak boleh dilupakan.

Aksi lewat sebelah petang agak kurang memberangsangkan kerana arus mulai bergerak laju. Hanya ikan-ikan bersaiz sederhana yang dapat dinaikkan walaupun tekong beberapa kali cuba bertukar tempat.

Artikel Berkaitan:

Kesempatan itu, ada dalam kalangan peserta mengambil peluang berehat sambil menunggu waktu malam kerana kebiasaannya boron dan juga jenahak aktif pada waktu tersebut.

Aksi yang dapat dilihat ketika pemancing berusaha menaikkan boron. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA
Aksi yang dapat dilihat ketika pemancing berusaha menaikkan boron. - Foto ASRA JUMADI RAMLEE dan KRMBSA

Namun, harapan kami semakin menipis kerana malam itu arus semakin kuat. Beberapa sentapan kasar dipercayai yu cicak yang kami lihat berenang di sekitar bot berjaya memutuskan tali pancing peserta. Bagaimanapun beberapa ekor ikan bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.

Aksi memancing kami terhenti seketika pada malam itu kerana ribut dan kami semua terpaksa memenuhi ruang kabin bot bagi mengelak daripada basah. Situasi sambil menyaksikan ramai yang terbaring kerana mabuk.

Selepas ribut reda, hanya segelintir pemancing yang mampu bertahan dan terus memancing hingga keesokan paginya. Setibanya di jeti Bagan Datuk menjelang tengah hari, semua hasil tangkapan dibahagikan sama rata sebelum pulang ke Shah Alam, Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!