Penyusunan semula strategi pelaburan selamatkan TH
KUALA LUMPUR - Keadaan ekonomi dunia menghadapi pelbagai cabaran termasuk pertikaian perdagangan global, namun penyusunan semula strategi pelaburan yang dilakukan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak tahun lalu menyelamatkan institusi kewangan itu daripada terjejas teruk.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, lebih daripada separuh aset TH dilaburkan kepada pelaburan yang memberi pendapatan lebih tetap pada tahun lalu.
"Langkah ini berjaya mengurangkan kesan kepada institusi tersebut dalam pasaran pada ketika ini. Kita masih mempunyai pelaburan dalam saham atau ekuiti.
"Ini penting supaya kita dapat mencari peluang walaupun dalam keadaan sekarang yang mungkin dari segi indeks lebih rendah daripada sebelumnya.
Menurutnya, keadaan itu memberi peluang kepada institusi seperti TH untuk memilih saham yang dalam jangka panjang memberi pulangan baik.
“Oleh kerana cara kita melabur menumpukan kepada pelaburan yang memberi pulangan lebih tetap, ia akan dapat menangani cabaran pasaran kewangan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi.
Mengenai prestasi agihan TH bagi tahun kewangan 2019, Nik Mohd Hasyudeen berkata, peningkatan jumlah agihan sebanyak 19 peratus itu membuktikan institusi kewangan tersebut berada dalam landasan yang betul walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Beliau berkata, kedudukan aset dan tanggungan TH juga dalam keadaan yang baik bagi tahun 2019.
"Jumlah aset TH pada 2019 sebanyak RM74.3 bilion manakala liabiliti berjumlah RM71.4 bilion dan sebagaimana yang kita telah umumkan bahawa keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion.
“Ini adalah peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Semalam, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019.
Menurut kenyataan TH, ia melibatkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM913 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: TH umum agihan keuntungan 3.05 peratus, lebih tinggi dari 2018
Prestasi kewangan yang semakin baik itu berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang menyumbang kepada pertumbuhan agihan kewangan pada 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!