TH agih keuntungan 3.05 kembalikan kepercayaan pendeposit

Zulkifli Mohamad
Zulkifli Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman kadar agihan keuntungan selepas zakat yang lebih tinggi sebanyak 3.05 peratus oleh Lembaga Tabung Haji (TH) semalam dilihat mampu mengembalikan kepercayaan pendeposit setelah jumlah dividen yang diterima agak rendah pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia juga dijangka akan memberi galakan kepada pendeposit untuk terus melabur dan menyimpan wang bersama TH.

Beliau berkata, keuntungan berjumlah RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan) yang dicatatkan TH untuk tahun kewangan 2019 juga pasti menggembirakan pendeposit selepas berlaku unjuran positif dalam keuntungan berbanding tahun kewangan yang lepas pada 2018.

"Tahniah dan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH atas keuntungan yang dicatatkan dan ini menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

"Bagaimanapun, cabaran terbesar TH adalah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka setelah berlakunya ketidaktentuan pasaran saham berikutan perang dagangan di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau bagaimanapun percaya TH dan semua pihak yang berkaitan telah menggembleng sepenuh tenaga mereka dan berusaha sehabis baik dalam melaksanakan tugasan itu.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding sebanyak 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Zulkifli menyeru semua pihak agar meletakkan sepenuh keyakinan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH yang sentiasa berdedikasi dan memahami hala tuju TH dalam menjalankan urus tadbir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penubuhan TH berlandaskan niat suci untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam kelima.

"Semoga TH akan dapat mencatat lebih banyak keuntungan pada masa akan datang serta dapat menyumbang lebih banyak untuk ekonomi dan pembangunan Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!