UMNO tidak berlebihan tuntut agihan jawatan Kabinet: Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak pernah berlebihan dalam apa jua tuntutan termasuk isu pembahagian jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet baharu Perikatan Nasional.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi reaksi demikian susulan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang dilihat membidas UMNO kerana membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai pembahagian jawatan dalam Kabinet baharu di antara parti komponen Perikatan Nasional serta didakwa 'mahu lebih'.

Beliau berkata, Abdul Hamid sepatutnya memahami perspektif kenapa UMNO merasakan bahawa ia tidak mendapat agihan kerusi dengan adil.

Katanya, sejak awal kemelut politik tanah air berlaku, UMNO menuntut agar Parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya, namun hanya menukar pendirian setelah kedudukan politik Malaysia terus berkonflik kerana tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, demi menyelesaikan kemelut tersebut, UMNO dan Pas memilih untuk menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata atas kepentingan nasional.

"Tanpa UMNO dan Pas, Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan. UMNO adalah pendiri bersama kerajaan Perikatan Nasional dan bukan penumpang.

"Disebabkan itu, UMNO merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan ‘proportionate’ (berkadar), tambah lagi UMNO ini parti politik dan ia bukan subordinat kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid dilaporkan memberi peringatan kepada pemimpin parti terutama UMNO yang dilihat tidak berubah, tidak mengambil iktibar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan lebih mementingkan parti serta diri daripada kepentingan negara, bangsa dan agama.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, UMNO tahu apa tuntutan yang sesuai dengan sumbangan parti itu dalam membentuk kerajaan dan kenapa ia menuntut perwakilan yang ‘proportionate’.

Menurutnya, UMNO mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu dan bukan blok Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bukan sesiapa.

"Jangan lupa bahawa hampir 35 peratus ahli Parlimen Bersatu menang atas tiket UMNO dan yang lain adalah mereka yang melompat daripada mana-mana parti untuk mendapat jawatan.

"Bersatu hanya menang 13 kerusi dalam pilihan raya lepas dengan undi popular yang sangat sedikit, sementara UMNO dan Pas menguasai 70 peratus undi popular Melayu.

"UMNO tahu di mana ia berada dalam persada politik Melayu dan Malaysia. Ia adalah dukungan sebenar bangsa Melayu dan bukannya Bersatu," katanya.

Beliau berkata, kebimbangan Abdul Hamid sepatutnya tidak ditujukan kepada UMNO, tetapi ditujukan kepada kualiti dan wibawa Kabinet itu sendiri.

"Apabila 10 menteri dari blok Mohamed Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan ahli Parlimen mereka untuk jawatan, apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Abdul Hamid? Dan beberapa lagi yang dilantik dalam Bersatu juga begitu.

"Apakah ini kepimpinan Melayu yang diabsahkan? UMNO hanya melakukan tugas moralnya sebagai parti politik untuk menuntut representasi yang strategik dengan sumbangannya dan setelah memperkirakan keupayaan dan pengalamannya dalam melestarikan kepentingan bangsa Melayu," katanya.

Mohamed Khaled berkata, Abdul Hamid berhak atas pandangannya tetapi UMNO tidak akan menikus sebagai parti politik apatah lagi sebagai suara orang Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!