Abang ipar jadi geng 'lalok'
GURUN - Helah seorang lelaki kononnya hendak pergi melihat lembu peliharaan dengan abang iparnya tidak menjadi apabila kedua-duanya ditahan dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun selepas disyaki positif dadah jenis syabu.
Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, kedua-duanya mereka yang berasal dari Perlis berusia 28 dan 36 tahun itu ditahan malam tadi.
Menurutnya, suspek berkenaan mengaku terlibat dengan dadah selepas mendirikan rumahtangga dengan pasangan masing-masing sejak tiga dan lima tahun lalu.
"Ketika ditahan, mereka memberi alasan mahu melihat lembu peliharaan," katanya.
Beliau berkata, operasi yang disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar itu turut menahan empat lelaki termasuk pemandu lori berusia 36 tahun yang membawa muatan kayu.
"Suspek dipercayai positif dadah jenis opiat dan syabu manakala seorang lagi berusia 31 tahun difahamkan baru selesai menghadiri jamuan makan malam di Alor Setar," katanya.
Operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam itu berakhir jam 12 tengah malam.
Kesemua yang ditahan akan disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!