Covid-19: Sektor terjejas akan terima diskaun bil elektrik
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sektor yang terjejas akibat penularan Covid-19 akan diberi diskaun bil elektrik.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia antara langkah yang akan diambil dalam pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan Februari lalu.
“Saya juga akan memastikan supaya industri bekalan elektrik negara menyokong usaha kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dengan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek Tenaga Boleh Diperbaharui dan pembangunan infrastruktur bekalan elektrik negara,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Anuar juga berkata, beliau akan mengumumkan hala tuju industri bekalan elektrik negara di bawah kerajaan baharu setelah mendapat penjelasan terperinci mengenainya.
Buat masa ini, pihaknya sedang meneliti perancangan yang dibuat dalam sektor tenaga bagi memastikan inisiatif yang telah dirancang adalah bertepatan dengan hasrat dan dasar kerajaan baharu.
Bagi sektor tenaga, beliau berkata agenda merancakkan pertumbuhan industri Tenaga Boleh Diperbaharui negara akan diteruskan selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Shamsul Anuar berkata, kementeriannya akan menyusun atur dasar, strategi dan tindakan berpaksikan WKB2030 untuk menjadi sebuah negara yang membangun secara mampan melalui penekanan kepada pengukuhan pengurusan tenaga dan sumber asli secara lestari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!