Masih ada jemaah tabligh belum buat saringan Covid-19

Rahmad (kanan) melihat kaunter 'primer' yang dibuat jarak lebih satu meter sekiranya menerima pesakit Covid-19 di Hospital Melaka.
Rahmad (kanan) melihat kaunter 'primer' yang dibuat jarak lebih satu meter sekiranya menerima pesakit Covid-19 di Hospital Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka meminta peserta yang hadir Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu membuat saringan kesihatan bagi mengelak jangkitan koronavirus (Covid-19) yang kini diisytihar sebagai pandemik.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, walaupun beberapa peserta menjalani saringan, namun pihaknya menjelaskan masih ada lagi belum tampil sehingga menimbulkan kebimbangan penularan yang lebih besar terutama di negeri ini.

"Sejak Januari lalu, seramai 134 orang direkodkan menjalani saringan di Hospital Melaka termasuk peserta program Ijtimak Tabligh.

"Daripada jumlah itu, seramai 47 orang dimasukkan ke wad bagi menjalani pemeriksaan dengan hanya 21 orang masih ditahan di wad manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.

"Kita menjalankan banyak saringan (terhadap peserta tabligh), namun masih ada lagi yang belum menjalankan saringan dan ini adalah kebimbangan kita," katanya ketika melawat pusat saringan Covid-19 di Hospital Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Hospital Melaka, Dr Sharifah Omar dan Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Melaka, Dr Khamarul Ariffin Arif.

Rahmad Mariman
Rahmad Mariman

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Melaka menyediakan sembilan ambulans bagi membawa individu disyaki pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tidak perlu tertumpu di Hospital Melaka sahaja dan boleh melakukan pemeriksaan di hospital atau klinik kesihatan lain dengan menggunakan ambulans khas itu," katanya.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek yakin dengan kemampuan KKM menangani isu berkenaan.

"Dalam masa sama saya berharap orang ramai tidak cepat panik dengan penularan gambar aktiviti disinfeksi yang dilakukan di klinik-klinik kesihatan negeri ini.

"Saya menyeru orang ramai tidak menyebarkan perkara berkaitan Covid-19 yang belum pasti, pengesahan biarlah saya yang buat atau Jabatan Kesihatan Melaka sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Rahmad tidak menolak untuk mencadangkan setiap hospital di negeri ini dipendekkan waktu melawat seperti inisiatif dilakukan Hospital Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!