Kerajaan pertimbang insentif khas kepada petugas JKM

Rina - Foto Bernama
Rina - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai menghargai sumbangan dan komitmen padu mereka kepada negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pegawai JKM ini telah dipertanggungjawabkan dalam menjaga dan mengurus hal ehwal kebajikan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari luar negara seperti Iran dan Itali susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, JKM sememangnya menyediakan petugas secukupnya termasuk pasukan yang telah bertugas dalam misi pengawasan warga Malaysia dari Wuhan bagi membantu urusan dan keperluan harian mereka yang akan dibawa pulang selama tempoh kuarantin.

"Menyedari risiko dan kegusaran rakyat Malaysia yang bertugas dan menetap di luar negara, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang seramai 428 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 363 orang dari Itali dan 65 orang dari Iran.

"Susulan itu, kementerian melalui JKM dipertanggungjawabkan menguruskan mereka yang akan dibawa pulang dan komitmen tinggi ditunjukkan pegawai bertugas tanpa mengambil risiko perlu dihadapi mereka amat dikagumi.

"Dalam hal ini, kementerian sangat prihatin terhadap kebajikan mereka dan berhasrat memberikan insentif khas kepada petugas ini sebagai apresiasi terhadap sumbangan dan komitmen padu kepada negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Rina menegaskan kementerian juga sangat mengambil berat terhadap kesihatan dan kesejahteraan penghuni di 70 institusi terdiri daripada 38 institusi kanak-kanak, 12 institusi warga emas dan 10 buah institusi orang kurang upaya (OKU), lima institusi orang papa dan lima institusi mangsa pemerdagangan orang.

Selain itu, Rina menegaskan, kementeriannya juga melaksanakan kawalan dalaman dengan menguatkuasakan operasi saringan suhu badan kepada semua warga kerja kementerian, agensi berkaitan serta pelawat di aras lobi sebelum memasuki pejabat bagi memastikan semua pihak mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian juga komited dalam memastikan semua warga kerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!