Salim dilantik Presiden Majlis Peguam baharu
KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Majlis Peguam, Salim Bashir dilantik sebagai presiden baharu badan berkenaan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ke-74 di sini hari ini.
AGM itu juga merekodkan kehadiran terendah dalam sejarah ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Dengan kehadiran cuma seramai orang 87 peguam, perbahasan terhadap 12 usul yang sepatutnya dilakukan dalam mesyuarat terpaksa ditangguhkan pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada satu tarikh yang lain.
AGM tersebut pada awalnya dijadualkan bermula jam 10 pagi di Wisma MCA gagal mendapat kuorum seramai 500 orang peguam sehingga ditangguhkan pada jam 12.15 tengah hari.
Salim berkata, terdapat sebanyak 12 usul yang dicadangkan, namun mengambil kira jumlah kehadiran peguam yang rendah ekoran Covid-19, ahli Majlis Peguam membuat keputusan untuk menarik semula usul berkenaan.
"Mereka akan bentangkan usul tersebut pada masa akan datang selepas situasi wabak Covid-19 dapat dikawal dan keadaan kembali pulih.
"Di bawah kepimpinan saya, kita harap dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan kerajaan baharu Perikatan Nasional," katanya pada sidang akhbar selepas AGM itu berakhir.
Menurut Salim, pihaknya juga berharap kerajaan akan menghapuskan undang-undang drakonian termasuk Akta Hasutan, selain terus memainkan peranan mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sudah lama tertangguh.
Salim dipilih untuk jawatan Presiden Majlis Peguam bagi menggantikan Abdul Fareed Abdul Gafoor.
Surindar Singh Chain Singh pula dilantik sebagai Naib Presiden, manakala Mohamad Ezri Abdul Wabah sebagai Bendahari dan Setiausaha pula disandang oleh AG Kalidas Krishnan Gnanaprakasam.
Salim berkata, beliau yakin tidak ada bantahan terhadap pelantikan tersebut walaupun AGM berkenaan gagal mencapai kuorum.
"Di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976, kami tidak menganggap ia satu masalah," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!