Masa depan lepasan SPM
MINGGU lepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Dalam ruangan ini saya berhasrat berkongsi dengan pelajar-pelajar tentang cabaran yang bakal mereka hadapi.
Pelajar yang menjadi generasi pewaris kepimpinan dan peneraju pembangunan negara, perlu berjiwa besar dengan lingkungan perspektif luas dan akal budi yang waras untuk membuat sebarang pertimbangan hala tuju kehidupan diri, agama, bangsa dan negara.
Dalam hal ini, pelajar haruslah bijak membuat perancangan dan hala tuju mengenai laluan akademik dan kerjaya pada masa akan datang.
Insya-ALLAH kebijaksanaan dalam membuat pilihan akan melakarkan masa hadapan yang unggul.
Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan selepas ini, pelajar mestilah bersedia untuk mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar batas kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan dapat dipacu sebaik mungkin oleh azam dan iltizam yang terbaik.
Visi dan misi pelajar perlulah mula digarap untuk melihat lebih jauh daripada skop SPM, STPM, diploma atau Matrikulasi.
Ia adalah kerana insan yang berjiwa besar sudah mampu melihat siapa dirinya dan tempat dia berada 10 tahun akan datang.
Menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, memegang gelaran profesional atau menjawat jawatan penting dalam kerjaya atau menjadi usahawan berjaya di samping tidak meminggirkan aspek kerohanian.
Itulah bayangan yang perlu dijelmakan pada layar minda pelajar.
Perlu diingatkan juga bahawa kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin kesejahteraan sebenar dalam kehidupan.
Pencapaian akademik perlu disulami dan diisi dengan nilai moral, adab tertib, insaniah dan kerohanian.
Kita adalah bahtera yang belayar di lautan tersebut. Kadang-kadang belayar mengikut arus di kala lain pula menongkah arus.
Ada ketikanya terpaksa melabuhkan sauh dan ada yang berpatah arah.
Telah banyak bahtera yang gagal dikemudi nakhoda menyebabkan ia karam atau rosak.
Andai muatan kita adalah iman, layarnya adalah Islam sauhnya pula adalah takwa nescaya kita akan selamat sampai ke destinasi dan tidak tersesat di lautan kehidupan ini.
Adalah amat penting pelajar berupaya mencipta swadaya diri dan kental menghadapi cabaran yang bakal dilalui.
Di luar sana, keadaannya tidak sama seperti alam persekolahan, tidak lagi disuap atau diaturkan segala hal perkara. Perlu membuat pilihan sendiri.
Kebertanggungjawaban terhadap segala tindakan diambil perlu dihadapi, apatah pula tidak lama lagi para pelajar akan mencapai umur 18 tahun di mana bebanan undang-undang mula digalas berdasarkan umur tersebut.
Undang-undang sudah tidak mengiktiraf seseorang yang mencapai umur dewasa iaitu 18 tahun dengan alasan kenaifan atau bawah umur.
Para pelajar perlu menginsafi bahawa hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan manakala keyakinan pula menentukan kejayaan.
Kejayaan menentukan kebahagiaan; kebahagiaan dunia dan akhirat. Namun apabila di mercu kejayaan kelak jangan dilupa orang yang berjasa kepada kita.
Kecemerlangan pelajar hari ini perlu digilap agar bersinar menjadi pemimpin cemerlang kelak. Tiada jalan pintas untuk berjaya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua calon SPM yang mengambil keputusan mereka.
Moga-moga anda semua mendapat kejayaan yang cemerlang. Bagi pelajar lain hayatilah nukilan saya di atas bagi pembangunan diri masing-masing.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!