Covid-19: Empat markas tabligh di Sabah jalani proses disinfeksi
KOTA KINABALU - Empat markas tabligh di Sabah masing-masing di Kota Kinabalu, Beaufort, Tawau dan Sandakan ditutup buat sementara bagi tujuan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Langkah itu adalah antara usaha kerajaan negeri bagi mencegah koronavirus (Covid-19) selain memastikan penularannya dapat diminimumkan kerana terdapat jemaah dari Sabah menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, yang menyaksikan ada peserta dijangkiti virus tersebut.
Beliau berkata, masjid dan surau di negeri itu yang pernah dikunjungi jemaah tabligh terbabit turut ditutup buat sementara bagi tujuan pembasmian kuman dan kerja-kerja itu akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kesihatan Sabah dan pihak berkuasa tempatan.
“Lanjutan kepada larangan sementara anggota jemaah tabligh untuk mengadakan perhimpunan di masjid atau surau di seluruh Sabah yang dikeluarkan oleh JHEAINS semalam, saya menegaskan bahawa larangan ini adalah bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diminimumkan ke atas orang awam.
“Larangan ini juga bertujuan memastikan kesejahteraan orang ramai terpelihara,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Safar turut meminta semua jemaah tabligh dari Sabah yang mempunyai sentuhan fizikal secara langsung atau tidak langsung dengan jemaah lain yang menghadiri perhimpunan itu atau ahli keluarga terdekat mereka agar tampil memaklumkannya kepada pegawai perubatan kerajaan dengan kadar segera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!