Situasi getir industri penerbangan negara

Beberapa penerbangan ke Jakarta, Singapura, Jeddah, Hanoi, Guangzou dan New Delhi dibatalkan semasa tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin berikutan penularan Covid-19. - Foto Bernama
Beberapa penerbangan ke Jakarta, Singapura, Jeddah, Hanoi, Guangzou dan New Delhi dibatalkan semasa tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin berikutan penularan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Industri penerbangan Malaysia kini berhadapan dengan situasi paling getir yang menyaksikan lebih 70 peratus pembatalan penerbangan sejak tiga minggu lalu ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pengangkutan baharu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau akan membawa masalah tersebut untuk dibincangkan dalam Kabinet minggu hadapan bagi mencari penyelesaian terhadap perkara itu.

“Sebanyak 63 peratus penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dibatalkan. Kita juga melihat sebanyak 70 peratus penerbangan AirAsia dan 510 penerbangan Malindo Air dibatalkan kesan daripada wabak ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan sedang mencerap maklumat berkaitan agar perancangan dapat dilakukan.

Ka Siong
Ka Siong

“Kita akan kumpulkan semua maklumat ini secara kolektif dan bincang di Kabinet,” katanya.

Menurutnya, industri penerbangan bukan sekadar mengalami kehilangan pendapatan akibat pembatalan penerbangan, malah mereka yang bekerja berkaitan dengan sektor berkenaan turut terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airlines tawar cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangan

Artikel Berkaitan:

Covid-19: Malindo minta kakitangan bercuti tanpa gaji

“Apabila tiba di lapangan terbang, peniaga dan vendor menjerit dan mengeluh kerana penumpang penerbangan sudah berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong turut menyeru semua pihak agar mendepani cabaran Covid-19 dan dapat bersama-sama untuk membantu kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita sedang fikir. Masing-masing sudah merayu meminta pertolongan kerajaan. Tapi dalam keadaan ini kita perlu sama-sama tanggung,” katanya.

Baru-baru ini, syarikat induk Malaysia Airlines Berhad iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuat kuasa bulan depan.

Dalam kenyataannya, MAG berkata, kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan, sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan.

Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih berjalan seperti biasa namun kurangnya penumpang dapat dirasai ketika dunia sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih berjalan seperti biasa namun kurangnya penumpang dapat dirasai ketika dunia sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama

Wabak Covid-19 telah menyebabkan kelembapan permintaan perjalanan udara sehingga memaksa beberapa syarikat penerbangan serantau mengambil langkah drastik bagi menangani impak tersebut.

Malindo pula mengenakan potongan gaji sebanyak 50 peratus ke atas kakitangannya sebagai tambahan kepada dua minggu cuti tanpa gaji, manakala Singapore Airlines (SIA) memotong gaji pengurusan kanan sebanyak 10 hingga 15 peratus bermula 1 Mac lalu serta menawarkan skim cuti tanpa gaji sukarela kepada pekerja.

Pada 5 Mac lalu, syarikat penerbangan utama United Kingdom, Flybe muflis selepas menghentikan operasi penerbangan selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

Sementara itu, saham AirAsia mengalami kejatuhan paling rendah dalam tempoh 48 bulan walaupun beberapa langkah untuk mengurangkan kos operasi telah diambil.

Pada 11 Mac lalu, saham syarikat itu ditutup sebanyak 97 sen, turun dua sen daripada 99 sen apabila pasaran dibuka pada 9 Mac menjadikan pasaran modal jatuh kepada RM3.42 bilion.

Dalam pada itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memberikan amaran terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menggantung perjalanan dari Eropah ke Amerika Syarikat selama 30 hari untuk membantu membendung penyebaran pandemik tersebut.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac berkata, langkah itu telah mengakibatkan pasaran saham syarikat penerbangan menjunam dan memberikan impak besar terhadap aliran tunai mereka.

Beliau berkata, syarikat penerbangan memerlukan langkah kecemasan bagi membolehkan mereka mengharungi krisis itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Mac lalu, IATA menjangkakan krisis itu akan menyebabkan industri penerbangan kerugian sebanyak RM483.47 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!