Covid-19: Topeng muka, 'hand sanitizer' habis stok di Perlis
ARAU - [VIDEO] Tiada pembelian panik di negeri ini, namun bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman didakwa kehabisan stok berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Tinjauan Sinar Harian mendapati rak di farmasi, kedai dan pasar raya yang menempatkan kedua-dua barangan itu kosong.
Menurut Pengurus Operasi Pasaraya C-mart Arau, Oi Ley sie berkata, orang ramai tidak panik melakukan pembelian barangan keperluan, tetapi bagi bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman sentiasa habis.
"Datang sahaja stok baru, tak sampai sehari ia akan habis terjual," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Menurut Ley Sie, pihak pengurusan pasar raya sentiasa menambah stok kedua-dua barangan itu bagi memastikan bekalan tidak terputus lama.
Dalam pada itu, rata-rata pelanggan yang ditemui berkata, mereka membeli mengikut keperluan.
Terdahulu, di negeri ini terdapat seorang pesakit baharu disahkan positif Covid-19 dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!