Jurusolek rugi RM100,000 ditipu untuk lesen perniagaan

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang jurusolek kerugian RM100,000 apabila ditipu seorang lelaki untuk mendapatkan lesen perniagaan pertukaran mata wang asing beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 27 tahun itu berurusan dengan seorang lelaki berhubung perniagaan tersebut sejak awal 2017.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah berurusan dengan lelaki berusia 51 tahun itu melalui kenalannya kerana mempercayai suspek boleh mendapatkan lesen perniagaan dengan cepat.

"Mangsa kemudiannya bersetuju menggunakan perkhidmatan suspek lalu diarahkan untuk membuat bayaran deposit sebanyak RM100,000 sebagai wang proses permohonan lesen perniagaan tersebut. Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa menyerahkan sendiri empat keping cek kepada suspek di Butterworth.

"Setelah bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran tambahan, namun mangsa enggan. Mangsa mula merasakan diri ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan apabila ditanya mengenai lesen perniagaan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang berasal dari Kepala Batas terus membuat laporan polis setelah suspek melarikan diri dan gagal dihubungi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!