Covid-19: Kaunter pusat MM2H ditutup hingga 30 April
PUTRAJAYA - Semua kaunter di pusat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di aras satu dan aras 10 Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini ditutup berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April ini sebagai langkah pencegahan koronavirus (Covid-19).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebanyakan pengunjung yang datang adalah warga asing dari pelbagai negara.
“Langkah ini juga penting bagi mengurangkan kebarangkalian penyebaran Covid-19 oleh pengunjung warga asing kepada petugas di pusat MM2H,” katanya.
Kata Nancy, sebarang permohonan baharu berkaitan MM2H hanya boleh dikemukakan melalui pos.
"Bagi permohonan seperti permohonan pengeluaran simpanan dan penamatan dan dokumen permohonan boleh dikemukakan melalui e-mel di mm2h@motac.gov.my," katanya.
Nancy berkata, bagi permohonan yang melibatkan pembayaran di kaunter Imigresen di pusat MM2H, pemohon perlu membuat temu janji dengan pegawai Imigresen di pusat MM2H terlebih dahulu.
“Semua pengesahan permohonan baharu akan ditangguhkan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan pusat MM2H di talian 03-8891 7424,” katanya lagi.
Nancy berkata, penutupan sementara kaunter di pusat MM2H tidak akan menjejaskan segala urusan berkaitan dengan program itu dengan adanya prosedur alternatif yang telah dikemukakan.
“Pembukaan semula kaunter akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Nancy turut memberi jaminan bahawa kementeriannya komited dalam menangani isu penularan wabak Covid-19 selaras dengan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!