Tapak sampah haram Kampung Bukit Kapar terbakar lagi

Anggota bomba sedang berusaha memadamkan api kebakaran di tapak sampah haram.
Anggota bomba sedang berusaha memadamkan api kebakaran di tapak sampah haram.
A
A
A

KLANG - Tapak pelupusan sampah haram di kawasan Kampung Bukit Kapar terbakar malam Jumaat lalu.

Difahamkan, tapak berkenaan pernah terbakar pada awal Januari tahun ini dan kerja-kerja pemadaman pada waktu itu turut mengambil masa selama empat hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Penolong Penguasa Bomba Yazli Yahya berkata, sewaktu kejadian, sebuah jentera telah digegaskan ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pemadaman awal di tapak sampah haram terbabit.

"Kerja pemadaman melibatkan kawasan berkeluasan 50x100 kaki persegi. Api merebak dengan cepat sehingga ke kawasan lereng bukit dan turut menyebabkan bahagian dalam timbunan sampah terbakar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Mengulas lanjut, Yazli berkata, berikutan keadaan api merebak cepat, pihaknya terpaksa membuka pos kawalan dan menempatkan anggota untuk bertugas 24 jam.

Beliau berkata, sehingga kini, kerja-kerja pemadaman di tapak berkenaan telah mencapai tahap 40 peratus.

"Kita tugaskan 20 anggota untuk melakukan kerja-kerja pemadaman dengan sambungan aliran tiga pam bersama lima pancutan," katanya.

Dalam pada itu, Yazli berkata, pihaknya berdepan sedikit kesulitan bagi mendapatkan bekalan air berikutan sumber terdekat adalah berjarak kira-kira 3,000 kaki.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya turut mendapat bantuan dua lori tangki dari Balai Bomba Zon Klang bagi memudahkan operasi pemadaman itu.

"Hari ini kita juga akan buat satu lagi taktikal lain bagi mendapatkan sumber air dari sungai untuk ditambah dalam kolam yang kita buat bagi membantu operasi pemadaman ini," katanya.

Tambahnya, kejadian kebakaran pada kali ini lebih teruk berbanding awal Januari lalu.

"Kebakaran kali ini lebih berskala besar berbanding Januari lalu.

"Jika diikutkan terdapat beberapa kejadian kebakaran kecil pernah berlaku di lokasi sama dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!